Tahun Baharu Cina: Rakyat diseru eratkan perpaduan, pertahankan kemakmuran negara - Zahid
Fareez Azman
Januari 21, 2023 15:00 MYT
Januari 21, 2023 15:00 MYT
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya kaum Tionghua di negara ini.
Dalam ucapannya, Ahmad Zahid menyeru agar rakyat di negara ini membentuk persefahaman dan kesepaduan demi Malaysia tercinta.
"Saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh rakyat Malaysia dan masyarakat Cina yang meraikan.
"Penting bagi kita membentuk persefahaman dan kesepaduan demi Malaysia yang tercinta.
"Keharmonian kaum serta keamanan yang kita kecapi harus dipertahankan untuk fadilat dan kemakmuran negara yang kita cintai ini," jelasnya dalam ucapan di laman sosial Facebooknya pada Sabtu.
Tambah Ahmad Zahid, sempena Tahun Arnab membawa simbol keamanan dan keharmonian, rakyat juga diingatkan agar tidak lupa ancaman COVID-19.
"Sempena Tahun Arnab yang membawa simbol kepada keamanan dan keharmonian, saya menyeru untuk kita mengeratkan perpaduan dan jangan lupa terhadap ancaman COVID-19.
"Jaga kesihatan di musim perayaan demi keluarga dan negara yang tercinta ini. Selamat Tahun Baharu Cina, Gong Xi Fa Cai," jelas Ahmad Zahid lagi.