Tahun Baharu Cina: Pastikan keselamatan elektrik, gas sebelum pulang ke kampung - ST

Sinar Harian
Januari 20, 2023 06:20 MYT
Orang ramai yang pulang ke kampung sempena Tahun Baharu Cina disarankan mengutamakan keselamatan elektrik dan gas. -Gambar hiasan
SHAH ALAM: Suruhanjaya Tenaga (ST) mengingatkan orang ramai yang pulang ke kampung sempena Tahun Baharu Cina untuk mengutamakan keselamatan elektrik dan gas dengan mengamalkan tip keselamatan yang diberikan.
Jelasnya, sekiranya keselamatan diambil mudah, kebarangkalian orang ramai terdedah kepada bahaya elektrik dan gas adalah tinggi.
Menurut kenyataan, keselamatan elektrik yang perlu diambil kira adalah menggunakan kelengkapan elektrik dan lampu hiasan yang diluluskan serta mempunyai label keselamatan ST-SIRIM.
“Kedua, pastikan kelengkapan elektrik dalam keadaan sempurna dan elak memperbaiki sendiri kelengkapan elektrik yang rosak.
“Selain itu, tidak membebani soket dengan kelengkapan elektrik yang berlebihan atau dengan beban yang tinggi.
“Keempat, tidak menekan suis elektrik dengan tangan yang basah selain pastikan semua suis dan kelengkapan elektrik yang tidak diperlukan dimatikan sekiranya anda pulang ke kampung atau bercuti,” katanya pada Jumaat.
Tambahnya, orang ramai juga tidak disaran menggantung perhiasan perayaan pada tiang atau talian elektrik atau pepasangan elektrik.
Peranti Arus Baki (PAB) juga perlu diuji dengan menekan butang uji ‘T’ sekurang-kurangnya sekali sebulan.
“Jika PAB berfungsi dengan baik, ia akan terpelantik dan bekalan elektrik akan terputus serta-merta.
"PAB yang berfungsi dengan baik akan dapat melindungi pengguna daripada terkena renjatan elektrik sekiranya terdapat kebocoran arus ke bumi.
“Sekiranya PAB tidak berfungsi atau rosak, dapatkan perkhidmatan kontraktor elektrik yang berdaftar dengan ST untuk menggantikan PAB atau sebarang kerja pemeriksaan/ pendawaian elektrik di rumah,” jelasnya.
Bagi keselamatan gas, ST menyarankan untuk sentiasa memeriksa dapur gas memasak bagi memastikan ianya berkeadaan baik tanpa ada bau atau kebocoran gas.
Tambahnya, orang ramai juga perlu menggunakan peralatan dapur gas yang diluluskan dan mempunyai label keselamatan ST- SIRIM selain pastikan peralatan dapur gas dalam keadaan baik dan selamat.
“Pastikan injap silinder gas ditutup sekiranya anda pulang ke kampung atau meninggalkan rumah, tidak meletakkan kuali/ periuk yang panas di atas silinder gas dan pastikan silinder gas menegak ketika memasak.
“Dapatkan perkhidmatan kontraktor gas yang berdaftar dengan ST untuk kerja pembaikan perpaipan gas di rumah,” jelasnya. -Sinar Harian
#keselamatan elektrik dan gas #Tahun Baharu Cina #Suruhanjaya Tenaga #ST-SIRIM
;