Tahun Baharu Cina: Masyarakat Tionghua hidupkan semula suasana perayaan
Muhafandi Muhamad
Januari 19, 2023 10:00 MYT
Januari 19, 2023 10:00 MYT
GUA MUSANG: Bahang sambutan Tahun Baharu Cina semakin dirasai apabila masyarakat Tionghua menghidupkan suasana perayaan dengan menghias aneka perhiasan menarik termasuk di rumah sendiri dan tokong.
Di Tokong Kuan Tai Meow, Bandar Lama, Gua Musang Kelantan meriah dengan ribuan perhiasan seperti bunga Mei Hua, tanglung dan tulisan kaligrafi.
Sejak dua tahun lalu, tokong berkenaan suram tanpa sambutan Tahun Baharu Cina akibat pandemik COVID-19.
Menurut penduduk, Tahun Arnab kali ini merupakan permulaan baharu bagi masyarakat Tionghua meraikan kedatangan Tahun Baharu Cina dengan penuh semangat.
Bagi suri rumah, Suni Eh Wang, mereka sudah mula bergotong-royong dengan membuat persiapan membeli perhiasan dan membuat dekorasi yang meriah sejak sebulan lalu.
"Hiasan tokong untuk Tahun Baharu Cina kita akan buat bersama bagi meriahkan lagi suasana dan bagi semua rakan di sini rasa gembira pada hari tersebut.
"Dua tahun kita tidak menyambutnya dengan meriah sebab arahan PKP, kita tak dapat keluar beramai-ramai. Tahun ini apabila COVID-19 sudah pulih, kita teruskan kembali," katanya.
Bagi usahawan Chong Won Mei pula, selepas dua tahun menyambat Tahun Baharu Cina dalam suasasa sederhana, tahun ini sambutan lebih meriah dengan penambahan tanglung.
"Kali ini kita ada tambah 50 lebih tanglung. Setiap tahun kita ada tanglung berwarni-warni.
"Lebih 10 orang datang tolong menyiapkan perhiasan," katanya.
Lebih 8,000 penduduk kaum Tionghua menyambut Tahun Baharu Cina di Gua Musang, Kelantan tahun ini.