Tahun Baharu Cina: JPBN Sarawak bermesyuarat, guna pakai SOP sendiri atau SOP MKN
Afiezul Samit
Januari 19, 2022 16:28 MYT
Januari 19, 2022 16:28 MYT
KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak akan bermesyuarat bagi mengkaji semula Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk perayaan Tahun Baharu Cina.
Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, mesyuarat yang akan diadakan dalam waktu terdekat itu membincangkan sama ada akan mengguna pakai SOP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau menetapkan SOP sendiri.
"Kita akan berbincang dalam masa terdekat sama ada kita guna pakai SOP sama seperti di Kuala Lumpur (MKN) atau kita guna SOP sendiri.
"Memang kita (Sarawak) sudah mengeluarkan SOP untuk Tahun Baharu Cina untuk tahun ini. Tetapi mungkin ada keperluan untuk kita kaji semula sebagai respon kepada cadangan awam," katanya ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak di sini, pada Rabu.
Antara SOP awal yang telah dikeluarkan adalah sambutan dibenarkan pada hari pertama sahaja dan tidak melebihi 50 peratus kapasiti rumah kediaman.
Upacara sembahyang di rumah-rumah ibadat dan bazar Tahun Baharu Cina juga dibenarkan mengikut SOP yang telah ditetapkan.
Bagaimanapun, rumah terbuka, aktiviti ziarah rumah ke rumah, sambutan di tokong atau tempat awam dan tarian singa atau naga masih tidak dibenarkan.