Tahun Baharu Cina bawa semangat keamanan, harmoni dan muhibah di Sabah - Hajiji

Mirlen Axtius
Januari 21, 2023 20:57 MYT
Bagi pihak kerajaan negeri dan keluarga, Datuk Seri Hajiji Noor mengucapkan selamat menyambut Tahun Baharu Cina kepada semua yang meraikannya.
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah sentiasa memberikan sokongan kepada masyarakat Tionghua untuk terus mengadakan aktiviti kebudayaan mereka, termasuklah perayaan Tahun Baharu Cina.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perayaan itu juga turut diraikan bersama rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri itu.
"Kita bersyukur kerana masyarakat Tionghua dapat menyambut dan meraikan Tahun Baharu Cina pada tahun ini dalam suasana aman, harmoni dan penuh muhibah.
"Dalam zodiak Cina, 2023 menandakan Tahun Arnab – haiwan yang dikaitkan dengan keamanan, kemakmuran dan umur panjang.
"Tahun Arnab juga menandakan tahun harapan yang sememangnya amat tepat apabila kita keluar daripada tempoh dua tahun pandemik yang mencabar.
"Semoga tahun ini akan membawa lebih banyak keharmonian, kemajuan ekonomi dan kemakmuran kepada rakyat serta negeri Sabah," katanya dalam satu perutusan sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2023.
Hajiji dalam perutusannya turut menyampaikan ucapan Tahun Baharu Cina kepada semua masyarakat Tionghua di Sabah.
"Bagi pihak kerajaan negeri dan keluarga, saya mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu Cina, Gong Xi Fa Cai kepada semua masyarakat Tionghua dan yang meraikannya di negeri ini," katanya lagi.
#Ketua Menteri Sabah #Datuk Seri Hajiji Noor #Tahun Baharu Cina #ucapan khas
;