Tahun Baharu Cina: Bas ulang alik percuma ke Bukit Bendera selama lima hari

Bernama
Januari 20, 2025 15:02 MYT
Perkhidmatan ke Bukit Bendera (gambar) itu akan beroperasi dari 9 pagi hingga 9 malam dengan kerapan lapan perjalanan setiap hari bagi kedua-dua arah pada setiap satu jam dan 30 minit, bermula 29 Jan hingga 2 Feb ini. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) dengan kerjasama Rapid Bus Sdn Bhd dan Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan perkhidmatan bas ulang-alik percuma ke Bukit Bendera dari Komtar selama lima hari, sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
PBBPP dalam kenyataan hari ini, memaklumkan perkhidmatan itu akan beroperasi dari 9 pagi hingga 9 malam dengan kerapan lapan perjalanan setiap hari bagi kedua-dua arah pada setiap satu jam dan 30 minit, bermula 29 Jan hingga 2 Feb ini.
Penumpang boleh menaiki perkhidmatan ulang-alik itu yang ditanda sebagai 'Penang Hill Free Shuttle Service' di hentian bas 9 Komtar di Jalan Ria iaitu laluan bawah bersebelahan kiosk Rapid Penang untuk ke Stesen Bawah Bukit Bendera dan sebaliknya.
"Bas ulang-alik ini turut direka mesra kerusi roda, dengan jadual perkhidmatan boleh didapati di laman web rasmi dan media sosial PBBPP," menurut kenyataan itu.
PBBPP memaklumkan sejak dilancarkan pada 2023, perkhidmatan itu mendapat sambutan menggalakkan termasuk pada cuti akhir persekolahan 2024 baru-baru ini, yang merekodkan lebih 1,100 penumpang menggunakan perkhidmatan bas percuma itu.
Peningkatan yang konsisten dalam bilangan penumpang ini, menyerlahkan populariti perkhidmatan ulang-alik percuma dalam kalangan penduduk tempatan dan pengunjung, selain menunjukkan kejayaan usaha PBBPP menggalakkan penggunaan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.
-- BERNAMA
#Tahun Baharu Cina #Bukit Bendera #Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang #komtar
;