Tahun Baharu Cina: Anthony Loke adakan majlis gaul Yee Sang bersama ahli Kabinet
Bernama
Februari 8, 2024 06:40 MYT
Februari 8, 2024 06:40 MYT
KUALA LUMPUR: Bersempena sambutan Tahun Baharu Cina pada hujung minggu ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook mengambil peluang mengadakan majlis gaul 'Yee Sang' bersama ahli Kabinet.
Loke dalam hantaran video di Facebook pada Khamis berkata acara duduk dan makan bersama selepas setiap kali Mesyuarat Kabinet diadakan telah menjadi kebiasaan dan amalan itu bertujuan mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan ahli Jemaah Menteri.
Beliau berkata hubungan dalam kalangan Jemaah Menteri juga semakin baik selepas setahun Kerajaan MADANI ditubuhkan dan ia selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu perpaduan terus diperkukuhkan.
"Setiap minggu selepas mesyuarat Jemaah Menteri, ahli-ahli Jemaah Menteri akan mengadakan majlis makan tengah hari bersama dan menteri-menteri mengambil giliran untuk hos makan tengah hari setiap minggu.
"Jadi untuk minggu ini, sempena Tahun Baharu Cina yang akan tiba beberapa hari lagi, saya hos makan tengah hari ini untuk Perdana Menteri dan seluruh ahli Jemaah Menteri. Tradisi semasa musim Tahun Baharu Cina, kita suka menggaul Yee Sang sebagai tanda meraikan dan berharap ini membawa keberkatan kepada semua," katanya.
Loke juga berharap agar semua ahli Jemaah Menteri dapat berkerjasama dengan lebih baik untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju.
Sementara itu, Anwar menerusi video berdurasi 1 minit 39 saat itu turut merakamkan ucapan Selamat Tahun Baharu Cina.
"Selamat Tahun Baharu Cina, Xin Nian Kuai Le, Xin Nian Hao," kata Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan.
Turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina adalah dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Tahun Baharu Cina akan disambut pada Sabtu ini.
-- BERNAMA