Tahun Baharu Cina: Aliran trafik bergerak perlahan di lebuh raya utama

Bernama
Februari 8, 2024 18:52 MYT
Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan bergerak perlahan petang ini, berikutan cuti panjang menjelang sambutan perayaan Tahun Baharu Cina pada Sabtu ini. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan bergerak perlahan petang ini, berikutan cuti panjang menjelang sambutan perayaan Tahun Baharu Cina pada Sabtu ini.
Setakat 4 petang ini, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata di wilayah utara, trafik mula bergerak perlahan dari Perai menghala ke Juru.
"Sementara itu, menghala ke Pantai Timur, di Lebuhraya KL-Karak (KLK) bermula dari Gombak menghala ke Genting Sempah turut mengalami kesesakan," katanya kepada Bernama.
Kemas kini PLUS menerusi laman X rasminya pula memaklumkan terdapat lori rosak di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) di Kilometer 1 arah selatan dari Shah Alam ke Seafield dengan lorong kanan terhalang.
Sementara itu, trafik juga perlahan selepas Plaza Tol Sungai Besi menuju ke pusat bandar.
-- BERNAMA
#Lebuhraya Utara-Selatan #Tahun Baharu Cina #trafik bergerak perlahan #Pantai Timur
;