Tahun Baharu Cina: Aliran penumpang dijangka meningkat di KLIA, KLIA2 - MAHB
Bernama
Januari 20, 2020 05:21 MYT
Januari 20, 2020 05:21 MYT
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menjangkakan peningkatan sebanyak 10 peratus dalam pergerakan aliran penumpang di kedua-dua terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (Kod IATA: KUL) menjelang sambutan perayaan Tahun Baru Cina (CNY) berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Ia berkata terminal utama KLIA dan KLIA2 masing-masing dijangka mengendalikan 1.3 juta dan 1.8 juta pergerakan penumpang pada tempoh perjalanan waktu puncak ketika musim perayaan, yang dijangka bermula sekarang hingga 2 Februari depan.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata syarikat itu akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan untuk menyediakan keperluan berikutan peningkatan penumpang yang dijangkakan.
"Selain menempatkan lebih ramai kakitangan di lapangan terbang itu pada tempoh tersebut, kami juga akan mempertingkatkan lebih banyak tindakan seperti menguruskan peningkatan aliran trafik di kawasan mengambil dan menurunkan penumpang.
"Pemandu akan diingatkan untuk mematuhi had masa dua minit ditetapkan untuk memastikan aliran trafik lancar di kawasan tersebut. Jangan meletak kereta di sepanjang jalan utama kerana ia akan membahayakan pengguna lain," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam nasihat khas kepada penumpang yang melakukan perjalanan menerusi KUL semasa musim perayaan, MAHB juga mencadangkan agar tiba di lapangan terbang sekurang-kurangnya tiga jam sebelum waktu penerbangan berlepas dan menggunakan pengangkutan awam untuk ke lapangan terbang.
-- BERNAMA