Tahun Baharu Cina: 316 bas ekspres diberi LPS, tampung permintaan pengguna - Anthony Loke
Fareez Azman
Januari 22, 2020 20:15 MYT
Januari 22, 2020 20:15 MYT
Sebanyak 316 buah bas diberi kelulusan Lesen Perubahan Sementara (LPS) sempena Tahun Baharu Cina tahun ini.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, penambahan bas itu bagi menampung permintaan yang dijangka terus meningkat.
"Pada tahun ini, kita telah memberikan kelulusan tambahan untuk Lesen Perubahan Sementara (LPS) kepada 316 bas tambahan. Saya difahamkan pengurusan Terminal Bersepadu Selatan (TBS), musim Tahun Baharu Cina ini, ada 200,000 orang penumpang menggunakan terminal ini berbanding tahun lepas iaitu peningkatan lebih 16 peratus," katanya.
Jelasnya, peningkatan itu amat menggalakkan sejajar dengan kempen kementeriannya agar masyarakat lebih menggunakan pengangkutan awam terutama ketika musim perayaan.
"Lebih ramai orang gunakan pengangkutan awam pada musim perayaan, ia akan memastikan kesesakan dapat dikurangkan. Ia lebih selamat dan tidak meletihkan kepada pengguna sendiri daripada memandu kenderaan berjam-jam ke destinasi masing masing.
"Kita telah meminta Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menambah Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) ke Utara dalam tempoh beberapa hari lagi," kata Loke dalam sidang media di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pada Rabu.
Terdahulu, Loke melancarkan sistem tiket tanpa tunai di terminal itu sebelum meluangkan masa kira-kira sejam beramah mesra dan menyampaikan cenderamati kepada pengguna.
#Anthony Loke
#bas ekspres
#e-wallet
#KTMB
#Menteri Pengangkutan
#pengangkutan awam
#perayaan
#Tahun Baru Cina
#TBS
#Terminal