Tahun Baharu Cina 2022: Pemulihan ekonomi di landasan tepat - PM

Astro Awani
Januari 31, 2022 18:04 MYT
Sempena Tahun Harimau ini, Ismail Sabri berharap segala usaha kerajaan untuk memastikan kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat dapat dipertingkatkan sehingga ke tahun-tahun seterusnya. - Foto PMO
KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia berada pada landasan yang tepat ke arah pemulihan, berdasarkan pembukaan semula lebih daripada 90 peratus sektor ekonomi, dan kebanyakan aktiviti sosial.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemulihan tersebut disokong oleh kadar vaksinasi yang tinggi dengan hampir keseluruhan populasi telah divaksinasi.
"Dengan momentum pemulihan, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berada pada landasan yang kukuh untuk terus berkembang antara 5.5 peratus dan 6.5 peratus pada 2022.
"Ia selari dengan unjuran oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada 6.0 peratus dan Bank Dunia pada 5.8 peratus.
"Pertumbuhan ini akan dipacu terutamanya oleh Bajet 2022 yang mengembang bernilai RM332.1 bilion, normalisasi dalam aktiviti ekonomi dan sosial," katanya ketika menyampaikan Ucapan Tahun Baharu Cina 2022 pada Isnin.
Mengulas lanjut, beliau berkata penyambungan semula projek dengan kesan pengganda tinggi dan permintaan luar yang kukuh terutamanya daripada rakan dagang utama juga meningkatkan pertumbuhan ekonomi.
Jelasnya, semua itu adalah sejajar dengan hasrat kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk mencapai negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2025 melalui pelbagai inisiatif yang digariskan.
Mengulas berkenaan sambutan Tahun Baharu Cina 2022, Ismail Sabri berkata masyarakat Tionghua dapat
kembali meraikannya bersama ibu bapa dan keluarga selepas dua tahun terpaksa menyambutnya dari kejauhan.
"Sempena Tahun Harimau ini, diharap segala usaha kerajaan untuk memastikan kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat dapat dipertingkatkan sehingga ke tahun-tahun seterusnya.
"Marilah kita terus bersatu hati menyokong usaha kerajaan untuk memulih dan menstrukturkan semula ekonomi negara bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju sepenuhnya," katanya.
Selain mengharapkan sambutan itu dapat mengerat dan mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan, Ismail Sabri mengingatkan seluruh Keluarga Malaysia supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 seiring membendung penularan wabak itu.
#ismail sabri yaakob #Perdana Menteri #ekonomi #Tahun Baharu Cina
;