Tahukah anda tentang arkeopelancongan?

AWANI Rangers USM
Mac 9, 2018 19:45 MYT
Ahli Majlis Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia dan siswa-siswi USM selepas Majlis Perbincangan dan Perkongsian Ilmu Arkeologi pada 28 Februari lalu - Foto AWANI Rangers USM
Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan universiti tunggal Malaysia yang berusaha dalam mempromosikan arkeopelancongan atau pelancongan arkeologi.
Inisiatif ini digerakkan oleh Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) demi menyahut semangat Naib Canselor USM, Datuk Profesor Dr. Asma Ismail, yang menyokong sepenuhnya aktiviti berkaitan arkeologi di Malaysia.
Menurut Yang Dipetua (YDP) Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia (IAAM), Profesor Madya Dr Zuliskandar Ramli, PPAG USM sangat berpengalaman dalam usaha melestarikan aktiviti arkeopelancongan.
"Pelan Pembangunan Arkeopelancongan Kebangsaan (PPAK) perlu ditubuhkan dalam usaha kita melestarikan aktiviti arkeopelancongan dengan kerjasama USM untuk melaksanakan PPAK",katanya.
"USM telah mempromosikan tapak-tapak arkeologi di Sungai Batu, Kedah dan Lenggong, Perak sebagai produk akeopelancongan seiring dengan sasaran IIAM untuk mempunyai produk arkeopelancongan di setiap negeri", tambah Zuliskandar ketika mewakilkan perucapan Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Profesor Dr Mohd Mokhtar Saidin dalam majlis Perbincangan dan Perkongsian Ilmu Arkeologi.
Arkeopelancongan lazimnya selari dengan sektor agropelancongan terutamanya apabila tapak-tapak yang berkaitan dengan sejarah selalunya berkait dengan pelancongan alam semulajadi seperti perancangan penubuhan Kompleks Megalit Malaysia (KMM) di Negeri Sembilan, jelasnya.
Walau bagaimanapun, menurut pensyarah Jabatan Sejarah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Adnan Juson, arkeopelancongan menjadi satu cabaran di Perak kerana kekurangan tenaga mahir dalam bidang arkeologi serta cabaran kewangan.
"Kekurangan kepakaran ahli konservasi dan kewangan menjadi masalah utama dalam usaha mewujudkan arkeopelancongan di Perak selain kewujudan taman tema yang menjadi penarik utama di sini," jelas Adnan.
Majlis Perbincangan dan Perkongsian Ilmu Arkeologi berlangsung di Anjung Arkeologi USM pada 28 Februari 2018 lalu.
_______________________________________________________________________________
*Laporan ini disediakan AWANI Rangers Universiti Sains Malaysia, Siti Nursyafiqah Samsudin
*Awani Rangers ialah inisiatif Astro AWANI bagi menggalakkan pelajar Institut Pengajian Tinggi untuk berkongsi cerita serta menghasilkan bahan berita dan informasi dalam era kewartawanan moden.
**AwaniRangers USM ialah inisiatif kerjasama strategik Astro AWANI dan Universiti Sains Malaysia.
#Asma Ismail #AWANI Rangers #AWANIRangers #Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia #PPAG #Pusat Penyelidikan Arkeologi Global
;