'Tahniah PM, bukti vaksin dijamin selamat dan tiada agenda Illuminati' - Ketua Pemuda Pas

Fareez Azman
Februari 24, 2021 16:41 MYT
Ketua Pemuda Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata komitmen yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia adalah bukti bahawa vaksin ini dijamin selamat, tidak memudaratkan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Komitmen ditunjukkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin COVID-19 membuktikan bahawa vaksin terbabit dijamin selamat, tidak memudaratkan dan tiada mikrocip beragendakan Illuminati untuk membentuk 'New World Order' seperti dakwaan sesetengah pihak.
Demikian jelas Ketua Pemuda Pas, Khairil Nizam Khirudin yang turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Muhyiddin dalam entri terbaharu di laman Facebooknya pada Rabu.
Jelas Khairil, Pas berdiri teguh bersama Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menerima vaksin COVID-19 yang telah diusahakan oleh pihak kerajaan.
"Komitmen yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia serta petugas barisan hadapan menerima vaksin pada hari ini juga adalah bukti bahawa vaksin ini dijamin selamat, tidak memudaratkan, tidak mempunyai mikrocip yang boleh mengambil alih kawalan pemikiran kita serta bukan salah satu daripada agenda illuminati yang akan membentuk ‘New World Order’.
"Pemuda Pas juga ingin menegaskan bahawa kami berdiri teguh bersama Datuk Seri Tuan Guru Presiden Pas (Abdul Hadi Awang) untuk menerima vaksin COVID-19 yang telah diusahakan oleh pihak Kerajaan," katanya.
Tambah Ahli Dewan Negara itu lagi, kejayaan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan adalah penting bagi memastikan pemulihan ekonomi negara dapat direalisasikan.
Ia dijangka membawa kepada pengembangan ekonomi Malaysia pada kadar 6.7 peratus bagi tahun 2021 seperti diramalkan Bank Dunia baru-baru ini.
"Prestasi ekonomi yang memberangsangkan ini sangat bergantung kepada program vaksinasi yang telah diusahakan oleh pihak Kerajaan," katanya lagi.
Malah sasaran membentuk imuniti berkelompok juga katanya dapat membendung penularan virus COVID-19.
Justeru rakyat tambah diingatkan agar mendaftarkan diri untuk menerima vaksin COVID-19 bagi menentang musuh tidak nyata itu.
"Saya juga seperti anda semua, ingin kembali pada kehidupan normal kita sebelum diserang Covid-19.
"Marilah sama-sama kita daftarkan diri kita untuk menerima vaksin COVID-19 melalui pelbagai kaedah yang telah disediakan oleh pihak kerajaan.
"Bukan sekadar untuk lindungi diri kita, bahkan untuk kita lindungi semua," jelasnya lagi.
#Muhyiddin Yassin #Abdul Hadi Awang #PAS #Dewan Negara #bank #Perdana Menteri #kerajaan #ekonomi #kesihatan #pemuda #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #vaksin #guru #Malaysia #COVID-19 #Illimunati
;