Tahniah! Kita semua adalah rasis

Hamzah Hamid
Julai 3, 2015 18:27 MYT
Sebelum sibuk mengadili orang lain dan menuduh mereka bersifat rasis, perlu cermin dahulu diri sendiri kerana kita mungkin memiliki secebis sikap yang sama. - Gambar Fail
RENTETAN pelbagai kisah yang melibatkan kata-kata dan perbuatan yang dilabelkan sebagai rasis akhir-akhir ini, sepatutnya memerlukan kita berfikir dalam radius lebih luas.
Adakah benar orang yang menuduh itu tidak tergolong dalam sifat serupa? Atau adakah 'rasisme' dalam pemahaman sesetengah pihak hanya apabila melibatkan tiga kaum utama negara ini iaitu Melayu, Cina dan India?
Sesungguhnya ia lebih daripada itu.
Sifat rasis membawa maksud menganggap kewujudan satu kaum itu lebih mulia daripada kaum lain, dan ia dizahirkan melalui percakapan serta perbuatan malah anggapan.
Hari ini, seseorang itu mudah 'jatuh' ke dalam kategori rasis jika dia menganggap diri atau kaumnya superior lalu merasakan lebih terhormat berbanding kaum lain hanya kerana faktor bahasa, warna kulit, pekerjaan, tahap pemikiran, budaya, pemakaian, rupa dan sebagainya.
Di Malaysia, dalam kita sibuk bertegang urat leher menuduh orang lain sebagai rasis, eloklah lihat ke dalam diri sendiri.
Hina etnik
Sesetengah daripada kita ini selama bertahun-tahun tanpa rasa bersalah menggunakan perkataan 'Sakai' dan 'Jakun' sebagai adjektif untuk merujuk kepada tabiat tertentu.
Lihat saja kalau sesebuah kisah perselisihan faham antara kaum menjadi viral di media sosial, perhatikan pada komen-komennya. Buruk, keji dan melemaskan. Tiada beza orang yang meninggalkan komen itu dengan subjek viral yang dituduh bersifat rasis tersebut.
Dalam hal berkaitan, orang Malaysia juga ramai yang memandang rendah pada buruh Indonesia, Bangladesh dan Nepal yang bekerja rencam di negara ini.
Tidak cukup memandang sebelah mata tanpa menilai jerih payah mereka di negara ini mencari rezeki, dilabel pula mereka dengan pelbagai panggilan yang mencela kelas serta darjat.
Sedangkan mereka itulah saban hari memerah tenaga dan keringat membina pembangunan fizikal negara ini, yang hakikatnya peluang itu tidak sungguh-sungguh diisi oleh anak tempatan.
Melayu hina Melayu?
Ironinya, orang Melayu di negara ini juga masih mempersenda sesama Melayu dengan menyebut soal ras dan keturunan. Kalau tidak suka pada seseorang Melayu lain, mulalah hendak dikaitkan perangai yang tidak disukai itu dengan susur galurnya.
Sebab itulah ada Melayu akan saling mentertawakan apabila mengejek darah Jawa, Boyan, Siam, Minang, Batak, Bugis, Mamak, Arab dan sebagainya. Apakah salah atau hinanya kaum-kaum itu?
Hal itu menjadikan sesetengah Melayu di negara ini malu apabila mahu mendedahkan asal keturunan mereka. Sedangkan mereka lupa bahawa kerana variasi keturunan itulah yang membawa kepada keindahan sejarah Melayu di dunia ini.
Ternyata rasisme wujud di mana-mana. Di Eropah yang sewarna kulit dan di bawah naungan satu ratu, tetap berlaku sentimen yang sama.
Orang Welsh, Scottish dan Irish misalnya, memandang orang Inggeris sebagai manusia kasar yang tidak mempunyai santun. Mereka malah menarik muka masam bila merujuk pada rakyat England.
Itu baru sesama warna kulit. Tidak perlu diulas panjang tentang masalah antara kulit putih dan hitam.
Amerika yang dalam sejarah dunia moden lantang memperjuang hak asasi manusia dan kesaksamaan, masih juga bersalut daki rasisme. Ternyata mereka belum bebas sepenuhnya dari sentimen perhambaan orang kulit hitam pada zaman lampau.
Insiden Dubai
Memetik satu peristiwa, penulis sendiri pernah mengalami situasi yang sama sewaktu ditugaskan di Dubai. Sekumpulan warga tempatan menyisihkan saya dalam lif. Mereka berdiri berkelompok di satu bahagian sementara saya seorang diri di sudut.
Hinggalah salah seorang daripada mereka ternampak tag wartawan saya yang berbunyi Islamik, terus ditanyakan sama ada saya ini Muslim.
Setelah dijawab 'ya' dan mengatakan bahawa saya dari Malaysia, barulah mereka mendekati, bersalam, malah memeluk saya sambil berselawat dan bangga mengatakan: "You are our brother!".
Saya tanyakan kenapa menjauhi saya tadi, mereka menjawab: 'Kami sangkakan anda orang Filipina. Di sini, mereka hanya tahap rendahan seperti tukang cuci.'
Ketika itu saya cuma terdiam dan cuba memproses semula kejanggalan sifat dan layanan persepsi dalam ruang lif tersebut.
Fikir semula
Bukalah mata, sifat 'rasis' itu bukanlah hanya apabila kita bercakap dalam konteks orang Melayu, Cina, India dan suku kaum lain di Sarawak serta Sabah.
Ia merujuk kepada bagaimana kita memandang, berfikir, menilai, berhubung dan menerima kewujudan pelbagai kaum lain di mana-mana sahaja di muka bumi ini. Sia-sia kita hendak menjaga hubungan di dalam negara ini, kalau kita kembali bersifat demikian sejurus melepasi sempadan geografi.
Begitupun, amat malang sekali bagi kita di Malaysia, sifat mempersenda antara kaum itu tetap berlaku malah dihinakan lagi dengan agenda murahan untuk mempolitikkannya.
Jika anda ada sifat-sifat itu, jangan cepat menuduh orang lain. 'Tahniah' pada diri sendiri dahulu kerana anda juga seorang rasis!
#Jakun #Malaysia #pendapat #rasisme #Sakai
;