Tahniah! Dr Sheikh Muszaphar dan isteri dikurnia sepasang lagi bayi kembar
Hasimi Muhamad
November 21, 2020 12:11 MYT
November 21, 2020 12:11 MYT
KUALA LUMPUR: Isteri Angkasawan Negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, Datin Dr Halina Mohd Yunos, selamat melahirkan sepasang bayi kembar yang merupakan anak kelima dan keenam mereka, di Pusat Perubatan Sunway semalam.
Menurut satu kenyataan, bayi kembar itu masing-masing dilahirkan pada pukul 9.47 pagi dan 9.48 pagi.
“Bayi lelaki dilahirkan dengan berat 2.26 kilogram (kg), manakala bayi perempuan dengan berat 2.17 kg.
“Dr Sheikh Muszaphar sangat gembira dan bersyukur kerana semuanya berjalan lancar,” demikian menurut kenyataan tersebut, pada Jumaat.
Jelas kenyataan itu lagi, isteri dan anak-anak Dr Sheikh Muszaphar berada dalam keadaan sihat.
Sementara itu, Dr Sheikh Muszaphar dalam kemas kini di laman Instagramnya hari ini menzahirkan rasa syukur atas kelahiran cahaya mata itu, selain menyifatkan ia kegembiraan berganda buat mereka.
Pakar bedah ortopedik itu menambah, beliau dan isteri pernah berdepan pengalaman sama dikurnia anak kembar, sebelum ini.
"(Mereka) lapar pada masa yang sama, bangun pada masa yang sama, tidur pada masa yang sama (serta) enggan berpisah.
"(Mereka) hanya tidur bila bersama. Itulah keindahan pasangan kembar," tulisnya dalam entri tersebut, hari ini.
Dr Sheikh Muszaphar, 48 tahun, dan Dr Halina, 39 tahun, mendirikan rumah tangga pada 10 Oktober 2010.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Sophea Isabella, 9 tahun, Sophea Natasha, 7 tahun, dan anak kembar lelaki iaitu Sheikh Adam dan Sheikh Noah, berusia tiga tahun.
Dr Sheikh Muszaphar merupakan rakyat Malaysia pertama meneroka angkasa lepas dan ia adalah hasil program yang dilhamkan pada 2003 apabila Rusia bersetuju menghantar seorang warga Malaysia ke ISS.
Ia sebagai sebahagian daripada program pembelian 18 jet pejuang Sukhoi buatan Rusia bernilai RM3.4 bilion.
#Angkasawan Negara
#Dr Muszaphar dapat anak kembar
#Dr Helina
#Isteri Dr Sheikh Muszaphar bersalin
#Angkasawan pertama Malaysia