Tahi judi dicekup ketika leka bersabung ayam di ladang kelapa sawit

Astro Awani
Disember 17, 2017 06:21 MYT
Pemeriksaan menemui 35 ekor ayam, 13 set taji, 4 botol ikan laga dan peralatan sabung ayam. Tindakan merobohkan kawasan perjudian turut dilakukan.
Sudah dasar kaki judi. Apa sahaja yang boleh dijadikan taruhan, pastinya ia dapat melepaskan gian.
Namun kegiatan mereka tidak bertahan lama apabila markas yang sekian lama beroperasi digempur semalam. Lokasinya di ladang kelapa sawit Bukit Kuching Jeram Kuala Selangor.
Operasi jam 5.30 petang itu dilakukan oleh Cawangan Anti Maksiat, Perjudian dan Gangsterisme D Tujuh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. Operasi bersama Pegawai Turus D Tujuh IPK Selangor DSP Norhizam Bahaman serta 8 pegawai dan 13 anggotanya itu berhasil selepas risikan selama dua minggu
13 kaki judi termasuk seorang wanita ditangkap. Ketika diserbu sekurang-kurangnya 30 kaki judi sedang bertaruh sabung ayam namun, ada yang sempat meloloskan diri di dalam semak.
Siasatan mendapati tahi judi terbabit datang dari luar kawasan Selangor semata-mata untuk bertaruh. Antaranya Melaka, Johor, Perak, Negeri Sembilan dan Pahang.
Pemeriksaan menemui 35 ekor ayam, 13 set taji, 4 botol ikan laga dan peralatan sabung ayam. Tindakan merobohkan kawasan perjudian turut dilakukan.
Kesemua mereka yang berusia 30 hingga 50 an dibawa ke IPD Kuala Selangor untuk tindakan lanjut.
#bertaruh #IPK Selangor #leka #sabung ayam #tahi judi
;