Tahi cicak tak batalkan wuduk - Dr Zulkifli
Sinar Harian
September 26, 2023 08:15 MYT
September 26, 2023 08:15 MYT
SHAH ALAM: Terkena atau terpijak tahi cicak mahupun najis-najis lain tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan wuduk atau air sembahyang.
Perkara itu dijelaskan, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi huraian di Maktabah Al-Bakri pada Isnin.
"Wuduk seseorang yang terkena najis masih sah dan tidak terbatal serta dia tidak perlu mengulanginya. Walau bagaimanapun, jika dia ingin mendirikan solat, maka perlulah dipastikan bahawa pakaian atau tempat yang terkena najis itu dibersihkan terlebih dahulu sebelum mendirikan solat.
"Hal ini kerana di antara syarat sah solat ialah bersih daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solat," katanya bagi menjawab soalan daripada individu yang bertanyakan baru-baru ini: 'Tular satu video dan di dalamnya disebutkan, terpijak tahi cicak membatalkan air sembahyang. Jadi, benarkah bahawa terpijak atau terkena tahi cicak membatalkan air sembahyang? Mohon pencerahan.'
Ketua Koordinator Komunikasi Barisan Nasional (BN), Mohd Shafiq Fhadly Mahmud baru-baru ini dilaporkan menyamakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai ‘cicak politik’.
Dakwaan yang dibuat Ketua Penerangan Pemuda UMNO Larut itu bersandarkan kerana cicak selalu duduk di masjid dan apabila terpijak najisnya ia akan membatalkan air sembahyang.
Susulan kenyataan kontroversi tersebut, pelbagai pihak membidas Mohd Shafiq kerana didakwa tidak memahami hukum yang boleh membatalkan wuduk.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara itu, Zulkifli yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan berkata, secara umumnya, tahi cicak termasuk dalam kategori najis mutawassitah kerana menurut mazhab al-Syafi‘i tahi, najis dan air kencing termasuk yang datang daripada haiwan adalah dikira sebagai najis.
Ujarnya, disebabkan tahi cicak termasuk dalam kategori najis mutawassitah, maka cara membersihkannya adalah dengan menghilangkan ainnya terlebih dahulu, kemudian mencucinya dengan air sehingga hilang bau, warna dan rasa.
"Dalam situasi di dalam ruang solat iaitu surau atau masjid sekiranya tahi cicak itu boleh untuk dielakkan, maka jika terpijak, hendaklah segera dibuang kerana dikhuatiri ia boleh merosakkan solat.
"Namun, sekiranya tahi cicak itu sukar untuk dielakkan kerana terlalu banyak, ia tidaklah merosakkan solat kerana najis itu dimaafkan dan termasuk dalam ‘Umum al-Balwa," katanya. - Sinar Harian