Tahfiz perlu turut dalami ilmu sains dan teknologi - Abang Johari

Bernama
Jun 2, 2024 18:00 MYT
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg (tiga, kanan). merasmikan Perhimpunan Perwakilan Harakah Islamiah (HIkmah Sarawak kali ke-21 hari ini. - Foto Bernama
KUCHING: Tahfiz tidak seharusnya terhad kepada pengajian berkaitan agama saja, tetapi juga perlu dilengkapi dengan pengetahuan luas dalam ilmu sains serta teknologi agar selari dengan peredaran zaman, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata menerusi penubuhan Kolej Teknologi Islam Hikmah (HITEC) di negeri ini, diharapkan lebih ramai ahli teknokrat yang turut menguasai ilmu berkaitan Islam dapat dilahirkan, sekali gus menyumbang kepada tamadun manusia.
"Kita keluarkan anak tahfiz yang menghafal Al-Quran,menghayati ayat suci Al-Quran dan seterusnya ia diterjemahkan ke dalam amalan anak Islam itu sendiri (sebab), sains itu sudah ada di dalam Al-Quran, jadi hayatilah...
"Kalau semua yang masuk tahfiz jadi imam (di masjid) siapa nak jadi makmum? Jadi kita nak lahirkan barisannya, ada jadi imam dan ada makmum, tetapi makmumnya terdiri daripada golongan teknokrat yang melihat keadaan (dunia) sekeliling," katanya dalam ucapan amanat sempena Perhimpunan Perwakilan Harakah Islamiah (HIKMAH) Sarawak kali ke-21 di sini hari ini.
Abang Johari berkata penubuhan HITEC yang menekankan jurusan sains dan teknologi di peringkat diploma telah mendapat kelulusan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan merupakan antara agenda dalam memantapkan inisiatif HIKMAH sebagai platform untuk menyebarkan dakwah Islam.
Kolej berkenaan diwujudkan sebagai kesinambungan kepada institusi pendidikan tahfiz HIKMAH bermula dari peringkat taska, tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah.
Berlangsung selama empat hari sejak semalam, 200 delegasi menghadiri perhimpunan yang diadakan setiap tiga tahun sekali itu yang menjadi wadah terbaik untuk para perwakilan dan pemerhati menyampaikan idea, saranan dan usul bagi mencorakkan langkah dan perjalanan HIKMAH agar terus berperanan dalam pembangunan ummah.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti Dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya dan Yang Dipertua Hikmah Sarawak Tan Sri Dr Abdul Aziz Husain.
-- BERNAMA
#tahfiz #Abang Johari Tun Openg #Kolej Teknologi Islam Hikmah #peredaran zaman #ilmu sains serta teknologi
;