Tahap sekuriti makanan negara stabil tapi berisiko

Tan Su Lin
Jun 21, 2016 21:53 MYT
Pengeluaran beras negara umpamanya, hanya 72 peratus, dengan selebihnya diimport. - Gambar hiasan
Tahap sekuriti makanan negara buat masa ini berada dalam keadaan stabil.
Bagaimanapun Timbalan Naib Canselor Bahagian Akademik Dan Antarabangsa, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin, menyifatkan kestabilan itu sebagai rapuh berikutan kebergantungan tinggi negara terhadap makanan import.
Pengeluaran beras negara umpamanya, hanya 72 peratus, dengan selebihnya diimport.
Menurutnya, makanan utama keluaran dalam negara masih tidak cukup untuk memenuhi permintaan tempatan seperti beras, daging lembu, sayur-sayuran dan ikan.
"Rata-rata makanan yang penting belum mencukupi lagi. Pengeluaran beras negara hanya 72 peratus, daging lembu 28 peratus, kambing 10 peratus dan sayur-sayuran 33 peratus. Bagi pengeluaran ikan, walaupun mencukupi buat masa ini tetapi kebanyakan sumber tangkapan ikan adalah dari laut dan kita tahu bahawa tangkapan ikan di laut tidak begitu mapan."
"Jadi kalau ktia lihat, banyak lagi produktiviti dan pengeluaran perlu dipertambah," beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Advokasi Ilmuwan bertajuk "Sekuriti Makanan Negara: Sampai Bila?" di UPM, Serdang.
Ujarnya, kebergantungan kepada import yang tinggi merisikokan negara sekiranya berlaku krisis makanan global.
"Pada 2008 contohnya apabila isu harga minyak naik, maka harga makanan juga naik. Jadi berlaku suasana tidak berangsangkan di negara pengeluar padi seperti Thailand dan Vietnam. Pada masa itu, negara kita juga tidak cukup dari segi makanan."
"Kita banyak mengimport makanan menyebabkan bekalan makanan negara tidak stabil. Sekiranya berlaku apa-apa, maka akan berlaku huru-hara di negara kita. Kajian menunjukkan huru-hara akan berlaku sekiranya hanya empat hari tiada makanan," katanya.
Malaysia kini mengalami defisit bekalan makanan dengan nilai import mencecah RM18.1 bilion.
#beras #daging #kebergatungan import #makanan laut #sayuran #Tahap sekuriti makanan
;