Tahap penguasan bahasa Melayu sekolah vernakular meningkat

Bernama
Ogos 11, 2022 17:53 MYT
Penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar sekolah vernakular telah meningkat pada masa ini, menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mah Hang Soon. - Gambar fail
KULAI: Penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar sekolah vernakular telah meningkat pada masa ini, menurut Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mah Hang Soon.
Bagaimanapun, beliau berkata, masih terdapat ruang penambahbaikan untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Kebangsaan ke tahap yang lebih baik di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Pertandingan Syarahan dan Ujian Bertulis Bahasa Melayu SJKC dan SJKT Piala Perpaduan Perdana Menteri Peringkat Kebangsaan ke-39 di sini hari ini.
Mah berkata, selain pihak kementerian dan sekolah, masyarakat dan ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam memartabatkan bahasa Melayu.
Beliau berkata, interaksi menggunakan Bahasa Kebangsaan secara berterusan dapat memupuk budaya menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian, sekali gus memperkasakan bahasa berkenaan.
Menurutnya, pemerkasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar sekolah vernakular juga mampu menjadi asas kukuh kepada pembentukan generasi yang bersatu padu, bertoleransi dan bekerjasama.
"Kita perlu menggalakkan interaksi harmonis antara murid pelbagai kaum dalam menjana kestabilan, kemakmuran dan kemajuan berterusan untuk negara mengorak langkah menghadapi era globalisasi yang serba canggih dan kian mencabar," katanya.
Sementara itu, pertandingan syarahan dan ujian bertulis Bahasa Melayu SJKC dan SJKT itu berlangsung selama tiga hari bermula Selasa hingga hari ini secara dalam talian menyaksikan penyertaan 210 peserta dari 15 kontinjen seluruh negara.
Pelajar SJKC Jalan Davidson , Kuala Lumpur Low Tze Xian muncul johan bagi kategori syarahan Bahasa Melayu diikuti Cheong Sung Zhen (SJKC Foon Yew, Johor Bahru) di tempat kedua dan Chiah Wei Tuan (SJKC Tshing Nian, Klang) ketiga.
Bagi kategori ujian bertulis, pelajar SJKC Kim Sen, Bukit Mertajam Pulau Pinang Ng Rui En diumum sebagai johan diikuti P. Khogulen (SJKT Ladang Jawi, Nibong Tebal, Pulau Pinang) di tempat kedua dan Oscar Choong (SJKC Chung Hwa Kota Kinabalu, Sabah) di tempat ketiga, sementara juara perpaduan dimenangi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. - BERNAMA
#Bahasa Melayu #sekolah vernakular #bahasa kebangsaan #Mah Hang Soon
;