Tahap pematuhan SOP mereka yang pulang dari Sabah tidak begitu tinggi

Astro Awani
Oktober 4, 2020 18:56 MYT
Penumpang yang baru tiba dari Sabah dilihat memakai gelang kuarantin. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Tahap pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dalam kalangan rakyat amat tinggi namun sejak kebelakangan ini, pematuhannya dilihat tidak begitu membanggakan seperti sebelum ini.
Pandangan itu disuarakan Pakar Perubatan dan Kesihatan Awam, Dr Khor Swee Kheng yang mengaitkan tahap pematuhan yang tidak begitu tinggi itu melibatkan mereka yang baru pulang dari Sabah.
Menurutnya, mungkin terdapat sedikit kekeliruan yang menyebabkan perkara itu terjadi terutamanya melibatkan tempoh kuarantin.
“Sejak kebelakangan ini, apabila ramai orang balik dari Sabah, pemimpin, ahli politik mahupun rakyat jelata, pematuhan SOP dari rakyat balik dari Sabah itu tidak begitu tinggi.
“Mungkin ada sedikit kekeliruan pematuhan kuarantin tak perlu 14 hari sebab kalau balik dari luar negara kena kuarantin 14 hari dan buat dua ujian tapi balik dari Sabah, kawasan berisiko tinggi hanya memerlukan satu ujian.
“Mereka juga dibenarkan tamat kuarantin 14 hari pada masa lebih singkat. Mungkin terdapat tidak konsisten SOP yang balik dari luar negara atau Sabah, mungkin menimbulkan keresahan dalam hati rakyat Malaysia,” katanya kepada Astro AWANI.
Dalam pada itu, Dr Swee Kheng berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menunjukkan kemampuan mereka untuk mengatasi pandemik itu.
“Seperti yang kita lihat sebelum ini dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari fasa pertama, KKM telah menunjukkan kemampuan untuk meratakan lengkung jumlah jangkitan,” ujarnya.
Sebanyak 293 kes baharu COVID-19 dilaporkan sehingga 4 Oktober 2020 jam 12:00 tengah hari Ahad.
BACA: COVID-19: 293 kes baharu, 67 pulih, tiada kes kematian
KKM dalam satu kenyataan memaklumkan, ia melibatkan 292 kes tempatan dan satu kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.
Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 12,381 kes.
Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,961 kes.
#Sabah #Pilihan Sabah #Sabah Memilih #Astro Awani #SOP #KKM #politik #Kementerian Kesihatan #kesihatan #rakyat #rakyat Malaysia #operasi #perubatan #Malaysia #koronavirus #kes positif #pandemik #perintah kawalan pergerakan #PKP
;