Tahap pematuhan PKP di Kapit dan Song tinggi

Astro Awani
Februari 2, 2021 19:17 MYT
Tambahnya pihak penguatkuasaan juga melakukan rondaan di kawasan pasar, perumahan dan rumah panjang bagi pemakluman SOP dan nasihat kepada penduduk. FOTO: Astro AWANI
KAPIT: Tahap pematuhan warga Kapit dan Song terhadap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di dua daerah itu adalah tinggi.
Pelaksanaan PKP di kedua-dua daerah itu yang bermula 2 Februari sehingga 15 Februari 2021 ini merupakan bahagian kedua di Sarawak yang melaksanakan perintah itu selepas Sibu.
Menurut Ketua Polis Daerah Kapit, DSP Freddy Bian, walaupun ini merupakan hari pertama pelaksanaan PKP di dua daerah itu, ia akan membantu mengekang penularan COVID-19 sekiranya masyarakat terus patuh kepada arahan serta prosedur operasi standard (SOP) untuk hari-hari berikutnya.
“Untuk keadaan di Kapit, ia menunjukkan petanda yang baik dan keadaan di pasar pada sebelah pagi adalah terkawal dan tidak ramai penduduk yang datang memberi barangan keperluan.
“Jadi saya mengharapkan keadaan ini berterusan dan saya memohon kepada masyarakat di kedua-dua daerah ini untuk sama-sama membantu pihak penguatkuasaan bagi membanteras penularan COVID-19 di daerah ini,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai sekatan jalan raya (SJR) pula, kata Freddy, pihaknya masih memberikan amaran dan pemakluman mengenai garis panduan PKP kepada penduduk.
Namun tindakan tegas termasuk kompaun akan dikenakan kepada pesalah pada hari ketiga SJR berdasarkan peraturan yang digariskan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.
“Setakat ini tidak ada yang diarah berpatah balik dan ketika ini kita masih memberi amaran dan untuk hari ketiga dan seterusnya nanti kita akan bertindak tegas.
“Kita akan mengeluarkan kompaun kepada mereka yang masih lagi ingkar dengan arahan dan SOP yang digariskan,” tambahnya.
Tambahnya pihak penguatkuasaan juga melakukan rondaan di kawasan pasar, perumahan dan rumah panjang bagi pemakluman SOP dan nasihat kepada penduduk.
Namun tindakan tegas juga akan diambil pada hari ketiga dan seterusnya sekiranya terdapat pihak yang terus ingkar.
#PKP di Kapit #PKP di Song #COVID-19 di Sarawak #Kapit zon merah #SOP PKP Kapit #kompaun PKP #JPBN Sarawak
;