Tahap kesihatan merosot, Anwar dijangka masuk hospital Selasa

Astro Awani
Mei 30, 2015 12:57 MYT
Nurul Izzah turut menunut agar ahli keluarga menemui Anwar Ibrahim sepanjang masa ketika itu.
Anak Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Nuha Anwar hari ini meminta agar ahli keluarganya diberikan kebenaran untuk melawat ayahnya yang juga bekas Ketua Pembangkang itu apabila beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) ekoran kemerosotan tahap kesihatannya.
Anwar dijangka dimasukkan ke hospital Selasa ini.
Memetik laporan The Malaysian Insider, Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul turut meminta agar Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberikan jaminan Anwar dibenarkan berada di hospital sehingga keadaannya pulih.
"Kegagalan kerajaan memenuhi tuntutan ini merupakan satu pencabulan hak asasi Anwar untuk mendapatkan rawatan perubatan yang adil dan saksama," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.
Selain Nurul Nuha, turut hadir adalah dua lagi anak perempuan Anwar iaitu naib presiden PKR Nurul Izzah, dan Nurul Hana.
Menurut peguam Anwar, R. Sivarasa, sejak dipenjarakan, berat badan Anwar telah menyusut sebanyak 6 kilogram.
Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan kes meliwat bekas pembantu peribadinya.
Kerusi parlimen Permatang Pauh dan jawatan Ketua Pembangkang yang dipegang Anwar sebelum ini kini digantikan oleh isteri beliau yang juga merupakan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
#Anwar Ibrahim #Nurul Izzah #PKR #Wan Azizah Wan Ismail
;