Tahap keselamatan balai, tempat kunjungan ramai perlu ditingkatkan - Lee Lam Thye
Bernama
Mei 18, 2024 22:30 MYT
Mei 18, 2024 22:30 MYT
KUALA LUMPUR: Tahap keselamatan di semua balai polis dan tempat-tempat yang sering dikunjung ramai perlu ditingkatkan segera, sebagai respond kepada insiden serangan ke atas balai polis Ulu Tiram, Johor awal pagi semalam.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata ini bagi memberi jaminan kepada orang ramai bahawa tahap kewaspadaan telah ditingkatkan oleh pihak berkuasa bagi mengelak sebarang kejadian seumpama itu berulang di masa hadapan.
"Insiden keji itu sekali lagi membuktikan bahawa negara secara keseluruhannya mesti sentiasa berwaspada terhadap segala bentuk ekstremisme dan radikalisme bagi menegakkan keharmonian dan keamanan, di samping memastikan keselamatan semua, dan bahawa adalah selamat bagi semua untuk menjalani kehidupan seharian tanpa rasa takut atau sangsi yang tidak wajar," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tiga maut dan insiden serangan kira-kira pukul 2.45 pagi semalam, iaitu dua anggota polis, Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, serta seorang suspek berusia 21 tahun, dipercayai anggota Jemaah Islamiyah (JI).
Seorang lagi anggota polis Koperal Mohd Hasif Roslan turut cedera dalam kejadian itu dan berada dalam keadaan stabil di Hospital Sultan Ismail.
Siasatan di rumah suspek di Ulu Tiram membawa kepada penahanan lima aanggota keluarganya yang berumur 19 hingga 62 tahun.
Dalam menyarankan orang ramai membenarkan polis menjalankan siasatan penuh bagi mengenal pasti motif serangan, Lee turut menggesa hasil siasatan segera dihebahkan kepada umum supaya orang ramai dapat dimaklumkan sepenuhnya dan turut dibawa untuk memainkan peranan bagi mengelak kejadian seumpama itu daripada berulang di masa hadapan.
Beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa berwaspada terhadap tindakan radikalisme seperti itu.
"Tindakan keganasan secara rambang boleh didapati di setiap pelosok dunia akibat ekstremisme dan radikalisasi kumpulan yang dihasut oleh propaganda melampau, pegangan agama atau ideologi yang diputarbelitkan.
"Ucapan takziah kita ucapkan kepada keluarga dua anggota polis yang dibunuh tanpa belas kasihan. Kita turut mendoakan agar anggota polis yang cedera dan kini menjalani rawatan di hospital cepat sembuh," katanya.
-- BERNAMA