Tahap kesedaran urus sampah dengan baik masih kurang memuaskan

Bernama
Ogos 23, 2020 14:35 MYT
Pengurusan sampah dalam aspek penggunaan plastik dan kitar semula, masih berada di tahap kurang memuaskan. - Gambar hiasan
Tahap kesedaran masyarakat untuk menguruskan sampah dengan baik sama ada dalam aspek penggunaan plastik dan kitar semula, masih berada di tahap kurang memuaskan, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib.
Beliau berkata majoriti daripada mereka beranggapan, kerja tersebut adalah tanggungjawab kerajaan dan pekerja pembersihan semata-mata, sedangkan setiap individu boleh memainkan peranan khususnya dalam aspek kitar semula.
Katanya, kerajaan juga dalam usaha menggalakkan rakyat untuk kitar semula, telah mengadakan pelbagai kempen kesedaran dan program seperti Trash to Cash yang membolehkan mereka menukar sampah menjadi sumber kewangan tambahan.
"Kita berharap lebih ramai yang mengambil peluang daripada program ini dan untuk memudahkan mereka, kita berhasrat membuka lebih banyak kaunter penjualan barangan kitar semula di pasar malam, pasar tani atau pasar pagi, kerana mereka boleh terus membawa barangan tersebut.
"Kita juga mengharapkan keprihatinan peniaga untuk sama-sama menyertai program ini, bagi mengakhiri situasi sampah yang banyak setiap kali pasar tamat, kerana ramai beranggapan pekerja pihak berkuasa tempatan (PBT) akan membersihkannya," katanya.
Ismail berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kempen #JanganGunalah Plastik Sekali Guna dan Pelancaran Program Trash To Cash peringkat Maran di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang Datuk Abd Rahim Muda dan Ketua Pengawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Ismail Mokhtar.
#COVID-19 #Ismail Abd Muttalib #Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan #kitar semula #menguruskan sampah #pengurusan sampah #Trash to Cash
;