Tahap kesedaran terhadap pengurusan sisa pepejal masih rendah - SWCorp
Raja Hisyam Raja Zaid
Mei 30, 2022 17:28 MYT
Mei 30, 2022 17:28 MYT
CYBERJAYA: Tahap kesedaran orang ramai terhadap kepentingan pengurusan sisa pepejal di negara ini masih rendah dan perlu sentiasa didedahkan dengan maklumat.
Menurut Pengerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Datuk Rizalman Datuk Mokhtar, dianggarkan lebih 38,000 tan sisa domestik dan 17,000 tan sisa makanan dihasilkan rakyat Malaysia setiap hari ketika ini.
Malah jumlah tersebut akan meningkat sehingga 20 peratus setiap kali menjelang musim perayaan.
Masalah itu katanya akan dihadapi setiap tahun yang memerlukan perubahan sikap orang ramai dalam memastikan pengurusan sisa pepejal yang lebih efektif.
"Banyak lagi perkara sebenarnya yang kita perlu buat dan kita tidak boleh berputus asa. Kita yakin bila tiba masanya rakyat akan sedar keperluan untuk bersama-sama dengan SWCorp dan kerajaan dari segi menguruskan sisa pepejal ini," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya SWCorp di sini hari ini.
Ketika ini katanya pihak SWCorp sedang giat melakukan pelbagai usaha dalam memastikan tahap pengurusan sisa pepejal di negara ini sentiasa baik.
Namun pendekatan terbaik dalam mengurusan sisa pepejal katanya adalah bermula daripada sikap dan tahap kesedaran rakyat di negara ini yang menjadi sumber asal kepada masalah tersebut.
Justeru SWCorp akan terus melakukan kempen-kempen kesedaran dalam konteks mendidik dan memberikan informasi yang perlu kepada orang ramai.
Dalam masa yang sama, SWCorp sedang meneliti kaedah dan teknologi terbaharu pengurusan sisa pepejal yang dilihat mempunyai keupayaan yang bersesuaian selain berpotensi mampu mengurangkan tanggungan kos yang sedia ada.
"Sebenarnya banyak cadangan-cadangan yang telah kita terima dan kita sedang mengkaji kalau kita dapat teroka perkara-perkara baharu yang kita rasa ia akhirnya dapat menambah baik dari segi mutu dan pengurusan sisa pepejal ini," katanya lagi.
Ketika ini jelasnya lebih RM2 bilion terpaksa dibelanjakan setiap tahun untuk menguruskan sisa pepejal di negara ini.