Tahap kesedaran keselamatan premis masih sederhana - Bomba
Bernama
Januari 25, 2017 06:06 MYT
Januari 25, 2017 06:06 MYT
Tahap kesedaran dan kepatuhan terhadap keselamatan kebakaran di premis perniagaan di Terengganu masih pada tahap sederhana selain ada yang mengabaikannya.
Penolong pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Wan Ahmad Fadillah Wan Abd Rahman berkata ini dapat dilihat daripada kegagalan mematuhi piawaian seperti menghalang pintu rintangan api, lampu kecemasan tidak berfungsi, lampu tanda keluar tidak mencukupi dan alat pemadam api tamat tempoh.
"Walaupun kelemahan itu kecil, tetapi ia memberi impak besar kepada pelanggan dan pekerja pasar raya apabila berlaku kebakaran. Pemilik premis perniagaan perlu bertanggungjawab memastikan ia memenuhi garis panduan pihak bomba," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan di sebuah pasar raya di sini, hari ini sempena Op Raya Cina yang diadakan sehingga 10 Februari ini.
Wan Ahmad Fadillah berkata sejak operasi itu dilancarkan pada 9 Januari lepas, sebanyak 68 daripada 107 premis termasuk hotel, dewan dan pasar raya di semua daerah diperiksa dengan 28 daripadanya diberi notis peringatan.
-- BERNAMA