Tahap kesedaran kanser prostat masih rendah, 60% kes dikesan pada peringkat lewat
Raja Hisyam Raja Zaid
Oktober 31, 2021 17:51 MYT
Oktober 31, 2021 17:51 MYT
KUALA LUMPUR: Pengetahuan dan kesedaran tentang kanser prostat di negara ini boleh dianggap masih rendah dan perlu diubah, agar penyakit yang mampu membawa maut ini dapat dikesan lebih awal.
Menurut Datuk Seri Nazir Razak yang juga merupakan bekas penghidap penyakit itu, pelbagai program kesedaran telahpun dilakukan sebelum ini namun tahap ambil peduli rakyat di negara ini masih lemah.
Beliau yang juga merupakan pemegang amanah Tabung Amanah Kanser Urologi Universiti Malaya (UM) menyasarkan agar lebih banyak program kesedaran akan dilaksanakan bersama Persatuan Kanser Prostat Malaysia untuk merealisasikan hasrat tersebut.
“Masalahnya ialah orang kita agak sensitif untuk bercakap secara terbuka mengenai tanda-tanda awal penyakit ini malah ada yang hanya berdiam diri tanpa mengambil sebarang tindakan.
“Kalau kita lihat di negara luar seperti United Kingdom misalnya, mereka tak malu untuk bercakap mengenainya. Ia mengenai budaya kita, kita segan sikit kalau bercakap benda yang menyentuh tanda-tanda awal seperti masalah ketika melakukan hubungan seksual,” katanya selepas hadir memberi ucapan alu-aluan pada Forum Persatuan Kanser Prostat secara maya, pada Ahad.
Beliau yang dikesan menghidap penyakit itu pada 2018 berkata, ujian secara percuma juga ditawarkan dalam kempen yang akan diadakan nanti bagi memudahkan mereka yang menjalaninya.
“Saya harap kalau boleh, buatlah ujian darah Antigen Spesifik Prostat (PSA) paling kurang setahun sekali, agar ia mampu dikesan lebih awal.
"Kalau tidak silap saya, terdapat sekitar 3.5 juta lelaki dalam kalangan usia 50 hingga 70 tahun di negara ini, dan golongan ini mempunyai risiko tertinggi untuk menghidap kanser prostat," jelasnya.
Tambah beliau, untuk menarik lebih ramai lagi minat dalam kalangan orang ramai untuk lebih memahami kanser prostat, beberapa selebriti dari golongan ahli sukan juga turut dilantik menjadi duta pada kempen yang akan dijalankan November nanti.
Kempen Bulan Kesedaran Kesihatan Lelaki diadakan pada setiap November bermula tahun 2020 sehingga 2024 bagi mendidik dan mendedahkan pengetahuan umum kepada masyarakat tentang bahaya kanser prostat.