Tahap kesedaran aspek keselamatan sektor pelancongan masih rendah - NIOSH
Bernama
Jun 29, 2024 04:00 MYT
Jun 29, 2024 04:00 MYT
ALOR GAJAH: Kesedaran berkaitan aspek keselamatan dalam kalangan penggiat industri pelancongan di negara ini masih rendah walaupun sektor itu semakin berkembang pesat terutama di Sabah dan Melaka.
Setiausaha Eksekutif Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Mejar (B) Hanif Maidin berkata, hal ini kerana masih ramai yang melihat isu keselamatan dalam industri pelancongan sebagai sesuatu yang kecil berbanding sektor pembinaan dan pengilangan.
"Hakikatnya risiko dan bahaya itu ada di mana-mana dan kita melihat tahap kesedaran itu masih rendah bagi industri pelancongan ini," katanya kepada pemberita pada Program Tanggungjawab Sosial Korporat NIOSH - Pembersihan Pantai di Pantai Padang Kemunting, Pengkalan Balak, di sini, pada Sabtu.
Sehubungan itu, katanya, NIOSH akan mula memberi penerangan dengan lebih terperinci kepada penggiat industri pelancongan berkaitan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 yang dikuatkuasakan 1 Jun lepas malah akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan agensi pelancongan di setiap negeri.
Beliau berkata, menerusi pindaan akta itu yang turut merangkumi sektor pelancongan, majikan diwajibkan menganalisis risiko di tempat kerja dan melantik penyelaras keselamatan kesihatan.
"Kita lihat ini penting terutama pelancongan di kawasan pantai atau pulau kerana aspek keselamatan ini selalu terlepas pandang walaupun tahu dan sedar mengenai risiko yang wujud.
"Jadi kita mahu langkah keselamatan sebelum aktiviti pelancongan dilakukan malah dipertingkat seperti aspek keselamatan bot, had kawasan berenang dan peralatan keselamatan," katanya.
Hanif berkata bagi tempoh Januari hingga Oktober 2023, sebanyak 176 kes kemalangan dalam kategori tidak hilang upaya kekal dicatatkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bagi sektor hotel dan restoran.
Terdahulu lebih 100 sukarelawan NIOSH dan pelajar Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Melaka berjaya mengutip 39.5 kilogram sampah di hampir satu kilometer di pesisir Pantai Kemunting. - BERNAMA