Tahap kerisauan rakyat Malaysia terhadap pengangguran meningkat - Ipsos Malaysia

Fareez Azman
Jun 1, 2020 14:20 MYT
Kaji selidik Ipsos Malaysia mendapati tahap kerisauan pengangguran dalam rakyat Malaysia semakin meningkat pada 51 peratus sehingga Mei berbanding 42 peratus pada bulan April.
Penularan pandemik COVID-19 ke atas sebilangan besar negara di dunia termasuk Malaysia telah menjejaskan ekonomi negara selain sektor pekerjaan.
Keadaan ini berlaku ekoran pihak pemerintah terpaksa mengambil langkah drastik menutup hampir kesemua sektor ekonomi serta operasi setiap sektor pekerjaan juga tidak dibenarkan kerana mahu membasmi penularan wabak baharu itu.
Kesan yang paling ketara berlaku selepas negara melalui proses pemulihan COVID-19 pula ialah peningkatan kadar kerisauan dalam kalangan rakyat berhubung masalah pengangguran.
Menurut kajian oleh firma penyelidik pasaran, Ipsos Malaysia, kadar kerisauan pengangguran yang dilakukan menerusi tinjauan atas talian terus meningkat pada 51 peratus sehingga Mei berbanding 42 peratus pada bulan April.
Angka berkenaan sekali gus memperlihatkan kadar kerisauan terhadap kehilangan kerja berada di kedudukan kedua tertinggi selepas kebimbangan terhadap wabak COVID-19 pada 74 peratus.
Kaji selidik firma itu turut mendapati, peratusan kebimbangan terhadap rasuah politik wang turut menunjukkan peningkatan daripada 30 peratus pada bulan April kepada 39 peratus sebulan kemudian.
Dapatan turut merekodkan kerisauan terhadap ketidaksamaan kemiskinan dan sosial berada di tangga keempat bersamaan 26 peratus pada bulan Mei berbanding 19 peratus pada April.
Bagaimanapun, tahap kerisauan rakyat terhadap jenayah dan keganasan serta kesihatan menunjukkan penurunan masing-masing 18 pada bulan Mei dan 11 peratus (April).
Rakyat Malaysia kurang pembelian isi rumah
Kajian Ipsos Malaysia juga mendapati rakyat Malaysia semakin kurang membeli isi rumah setiap bulan dan mencapai peratusan terendah pernah dicatatkan sejak 2018
Tinjauan yang sama mendapati, rata-rata rakyat Malaysia tidak selesa untuk membuat pembelian isi rumah dalam tempoh enam bulan lalu.
Bagi suku pertama tahun 2020 terus mencatatkan penurunan peratusan kepada 30 peratus sehingga Mei berbanding 34 peratus pada Februari.
Peratusan itu jauh lebih rendah berbanding pembelian isi rumah di 28 negara di rantau Asia Pasifik (APAC) yang turut mencatatkan penurunan sehingga kurang 40 peratus.
Trend yang sama didapati bagi pembelian isi rumah di peringkat global yang semakin menurun sehingga Mei pada tahap 40 peratus.
#APAC #Asia #COVID-19 #dalam talian #ekonomi #Global #Ipsos Malaysia #isi rumah #Jenayah dan Keganasan #Kajian Selidik #kesihatan #Ketidaksamaan Kemiskinan dan Sosial #koronavirus #Malaysia #pandemik #pengangguran #rakyat Malaysia
;