Tahap kepercayaan rakyat terhadap media, kerajaan dan perniagaan semakin menurun
Tan Su Lin
Februari 23, 2016 12:39 MYT
Februari 23, 2016 12:39 MYT
Tahap kepercayaan rakyat Malaysia terhadap media, kerajaan dan perniagaan didapati semakin menurun.
Menurut Kajian Trust Barometer 2016 dikeluarkan syarikat konsultasi komunikasi antarabangsa, Edelman, kepercayaan terhadap kerajaan jatuh tujuh mata kepada 39 peratus dalam kalangan masyarakat umum.
Bagaimanapun bagi golongan berpendidikan, tahap kepercayaan terhadap institusi itu didapati jatuh 11 mata kepada 34 peratus.
Pengarah urusan Edelman Malaysia, Robert Kay, berkata kepercayaan rakyat Malaysia terhadap kerajaan kini lebih rendah berbanding dahulu berikutan persepsi terhadap isu syarikat pelaburan strategik, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Kredibiliti kerajaan didapati sedikit terjejas susulan beberapa isu signifikan yang timbul daripada dakwaan rasuah dan persepsi bahawa wujudnya salah laku dalam amalan urus tadbir syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri," katanya ketika mendedahkan hasil laporan kajian Trust Barometer 2016 di Publika, di sini.
Sementara itu, laporan berkenaan juga menyebut tahap kepercayaan terhadap media juga didapati menurun dalam masyarakat umum di mana ia menurun 1 mata kepada 45 peratus.
Namun menariknya bagi golongan berpendidikan, tahap kepercayaan ini didapati meningkat 13 mata kepada 59 peratus.
Beza dalam kelompok responden adalah golongan berpendidikan melibatkan mereka yang mempunyai pendidikan tinggi hingga peringkat IPT/IPTS manakala masyarakat umum melibatkan semua golongan masyarakat kecuali golongan berpendidikan.
Terdapat juga perbezaan dalam platform media yang digunakan di mana media tradisional jatuh lapan mata kepada 49 peratus dan menariknya sosial media juga jatuh tujuh mata kepada 42 peratus.
Ini mungkin berikutan kesedaran yang timbul di kalangan masyarakat bahawa sosial media bukan sumber media yang paling dipercayai.
#kerajaan dan perniagaan rata-rata didapati semakin menurun
#Robert Kay
#Tahap kepercayaan rakyat Malaysia terhadap media
#Trust Barometer 2016