Tahap kebersihan, pematuhan SOP penting bina keyakinan pelancong - Tourism Malaysia

Bernama
Ogos 17, 2020 04:28 MYT
Musa berkata penting bagi organisasi nasional seperti Tourism Malaysia menjalin kerjasama bersama IPT mencari formula baharu bagi menjamin kelestarian sektor pelancongan. - Gambar fail BERNAMA
Tourism Malaysia menggesa pemain industri meningkatkan keyakinan pelancong menerusi amalan penjagaan kebersihan yang tinggi dalam usaha menarik pelawat ke destinasi pelancongan di negara ini.
Ketua Pengarahnya Datuk Musa Yusof berkata pemain industri juga harus menekankan aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengembalikan keyakinan masyarakat untuk mula melancong.
"Orang sudah tidak mahu tengok slogan 'Malaysia Truly Asia'. Orang nak letak 'trust on the destination'. Ini bukan lagi soal jenama, tetapi soal keyakinan terhadap destinasi," katanya semasa berucap pada majlis menandatangani memorandum kerjasama (MoC) di antara Tourism Malaysia dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Hotel UiTM, di sini pada Isnin.
Katanya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah menetapkan 13 SOP untuk masyarakat dan pemain industri pelancongan patuhi selaras dengan langkah kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri bagi menggalakkan pelancongan domestik.
"Selain itu, premis pelancongan juga harus menggunakan aplikasi MySejahtera," katanya kepada pemberita kemudian.
Terdahulu pada majlis berkenaan, MoC yang ditandatangani Musa bagi pihak Tourism Malaysia dan UiTM oleh Naib Canselornya Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim merupakan kerjasama untuk mewujudkan program pendidikan lanjutan iaitu Program Perdana Secara Projek Pendek (PPSPP).
Mengulas program itu, Musa berkata PPSPP akan memberi peluang kepada pegawai Tourism Malaysia yang layak untuk mengikuti pengajian Sarjana Pengurusan Pelancongan secara separuh masa di Fakulti Pengurusan dan Pelancongan UiTM selama dua tahun.
"Untuk permulaan, PPSPP yang akan dilaksanakan Oktober ini disertai 15 pegawai Tourism Malaysia," katanya.
Menurutnya MoC itu turut merangkumi hubungan kerjasama pintar, perkongsian ilmu dan bidang penyelidikan di antara kedua-dua organisasi terutama dalam proses pengumpulan data untuk kajian pelancongan.
"Adalah penting bagi organisasi pelancongan nasional seperti Tourism Malaysia menjalinkan kerjasama bersama institusi pengajian tinggi dalam mencari formula baharu bagi menjamin kelestarian sektor pelancongan yang kini turut berdepan dengan cabaran pendigitalan mengikut segmen pelancongan yang disasarkan.
"Kerjasama ini bukan sahaja melahirkan tenaga kerja yang lebih berkemahiran, malah berupaya memanfaatkan perkembangan kedua-dua pihak serta menjadi pemangkin ke arah amalan terbaik organisasi pembelajaran," katanya.
-- BERNAMA
#hotel #Institusi Pengajian Tinggi #kebersihan #Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya #kerajaan #musa yusof #MySejahtera #pelancong #pelancongan #pematuhan #pendidikan #pergerakan rentas negeri #PPSPP #program pendidikan lanjutan #SOP #Tourism Malaysia #UiTM
;