Tahap jerebu di Sabah dan Sarawak akan merosot dalam tempoh 48 jam - Wan Junaidi
Noraida Abdul Kassim
September 10, 2015 12:27 MYT
September 10, 2015 12:27 MYT
Kualiti udara di seluruh negara khususnya di Sabah dan Sarawak dijangka semakin buruk dalam tempoh 48 jam akan datang.
Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, keadaan berjerebu yang semakin serius di kawasan-kawasan barat Sarawak disebabkan jerebu merentas sempadan akibat kebakaran tanah serta hutan di Kalimantan, Barat, Tengah dan Timur, Indonesia.
"Keadaan itu menyebabkan kualiti udara di Sarawak semakin merosot sejak pagi ini, khususnya di kawasan Samaran, Sri Aman dan Kuching yang ditahap tidak sihat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, 140 titik panas dikesan pada Rabu di Sumatera dan 25 lagi titik panas di Kalimantan yang membentuk lingkaran jerebu sederhana serta tebal di kedua-dua wilayah Indonesia itu.
"Masih terdapat lingkaran jerebu sederhana dan tebal dari kawasan-kawasan kebakaran tanah dan hutan di kawasan tengah dan selatan Sumatera manakala lingkaran jerebu sederhana dan tebal di Kalimantan Barat, Tengah dan Timur, Indonesia semakin besar dan merebak ke kawasan Barat negeri Sarawak, Malaysia, katanya
Wan Junaidi berkata, asap jerebu dari titik panas di wilayah Kalimantan Barat dijangka merebak ke arah barat Sarawak menuju ke kawasan perairan Sarawak dan Sabah dalam tempoh 48 jam.
"Asap dan jerebu dari titik panas di wilayah Kalimatan Timur pula dijangka bergerak merentasi kawasan pantai timur Sabah dalam tempoh 24 hingga 48 jam," ujarnya.
Beliau berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan terus memantau rapi status dan tren kualiti udara berikutan keadaan jerebu yang masih tidak menentu dan peningkatan titik-titik panas di Sumatera dan Kalimantan yang berpotensi menyebabkan jerebu merentasi sempadan ke negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Laporan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia bahawa negara kini masih dalam fasa Monsun Barat Daya yang dijangka berakhir pada pertengahan bulan September 2015.
"Fenomena El-Nino sederhana yang sedang berlaku dijangka menjadi kuat dan berterusan sehingga awal tahun 2016. Walau bagaimanapun masalah cuaca kering dan berjerebu ini dijangka berakhir dengan bermulanya musim peralihan monsun pada bulan Oktober nanti," katanya.
Menurutnya, bagi menangani cuaca panas dan kering, setiap agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana jerebu sedang mempertingkatkan usaha-usaha pencegahan ke atas aktiviti pembakaran terbuka yang berpotensi menyebabkan jerebu di peringkat tempatan.
"Kerajaan negeri dan kerajaan tempatan dan semua pemilik tanah dinasihatkan supaya memantau secara rapi kawasan-kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri dan mengambil langkah-langkah untuk mencegah pencerobohan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka sama ada untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja," ujarnya.