Tahap hutang isi rumah dijangka terus terkawal
Bernama
November 2, 2018 17:24 MYT
November 2, 2018 17:24 MYT
Tahap hutang isi rumah pada 2019 dijangka kekal terkawal selaras dengan guna tenaga dan pendapatan yang stabil.
Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2019 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MoF) hari ini, keadaan itu turut disokong langkah berterusan kerajaan untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran isi rumah tentang perancangan dan pengurusan kewangan.
Pada akhir Jun 2018, keseluruhan hutang isi rumah berjumlah RM1.17 tilion iaitu 83.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Tahap hutang juga telah menyederhana sejak 2015 berikutan langkah makro berhemat yang dilaksanakan untuk mengawal tahap hutang isi rumah.
"Sebahagian besar hutang terdiri daripada pinjaman untuk pembelian harta tanah kediaman (53 peratus) diikuti kegunaan persendirian (14.4 peratus) dan kereta penumpang (13.8 peratus)," kata laporan itu.
Jumlah aset kewangan isi rumah juga kekal kukuh berjumlah RM2,458.4 bilion.
Merujuk prestasi sistem perbankan, laporan itu berkata sistem berkenaan dijangka kekal kukuh, beroperasi dengan penampan mudah tunai dan modal yang mampan.
Bagi tempoh tujuh bulan pertama 2018, aktiviti sistem perbankan kekal berdaya tahan dengan semua petunjuk pembiayaan terbukti berkembang.
Permohonan, kelulusan dan pengeluaran pinjaman masing-masing meningkat 5.7 peratus, 5.1 peratus dan 7.3 peratus kepada RM505 bilion, RM223.1 bilion dan RM678.8 bilion manakala jumlah pinjaman terkumpul meningkat 5.3 peratus kepada RM1.63 trilion pada akhir Julai 2018.
"Pinjaman kepada perniagaan merekodkan pertumbuhan stabil dalam tempoh yang sama dengan permohonan pinjaman kembali meningkat ketara sebanyak 7.4 peratus kepada RM227.8 bilion manakala jumlah kelulusan pinjaman pula berkembang 3.3 peratus kepada RM100.5 bilion.
"Pinjaman kepada isi rumah pula mencatat pertumbuhan kukuh dengan pengeluaran pinjaman meningkat 13.2 peratus kepada RM191.7 bilion, terutamanya bagi tujuan kredit penggunaan (47.2 peratus), diikuti pembelian harta tanah kediaman (26 peratus) dan kereta penumpang (11.9 peratus)," kata laporan itu.
Selain itu, secara kesimpulannya, laporan itu mengunjurkan dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi di samping memastikan kestabilan harga.
Pasaran modal pula dijangka terus berdaya tahan disokong oleh keadaan ekonomi domestik yang menggalakkan dan pertumbuhan global yang kukuh.
"Bagaimanapun, faktor luar termasuk normalisasi dasar monetari dalam kalangan ekonomi utama, ancaman perdagangan dan dasar perlindungan yang semakin meningkat, pengimbangan semula aliran pelaburan global dan ketegangan geopolitik boleh menjejaskan prestasi pasaran kewangan dan modal.
"Tumpuan akan terus diberikan demi memantapkan pasaran dengan menyediakan persekitaran yang menyokong inovasi, memastikan rangka kerja pengawalseliaan terus diperkukuh serta prinsip tadbir urus yang baik, ketelusan dan akauntabiliti dipatuhi," menurut laporan itu.
-- BERNAMA