'Tahanan sudah lama dalam depot'
Sinar Harian
April 20, 2022 05:45 MYT
April 20, 2022 05:45 MYT
ALOR SETAR: Persatuan Rohingya Malaysia Kedah mendakwa tindakan tahanan etnik itu melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau, Bandar Baharu pada awal pagi Rabu mungkin disebabkan sudah terlalu lama berada dalam depot tersebut.
Menurut Pengerusinya, Yusof Ali, sebahagian besar daripada mereka juga didakwa sudah pun memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).
"Semasa pihak berkuasa menahan mereka, ada dalam kalangan mereka sudah mempunyai surat sementara ataupun kad UNHCR. Namun mereka tetap ditahan oleh pihak berkuasa kerana mendakwa surat itu palsu.
"Mereka bertindak melarikan diri dari depot mungkin disebabkan telah lama berada di situ," katanya ketika dihubungi pemberita pada Rabu.
Mengulas lanjut, Yusof berkata, badan bukan kerajaan (NGO) itu memohon budi bicara kerajaan untuk membantu etnik tersebut kerana negara lain masih belum bersedia menerima mereka.
Menurutnya, terdapat di kalangan mereka yang terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan kad UNHCR sekaligus memberikan masalah kepada pelarian tersebut.
"Kami rayu agar kerajaan dapat berbincang dengan UNHCR agar dapat memberikan tempoh penyelarasan agar etnik Rohingya tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan kad tersebut," ujarnya.
Sinar Harian melaporkan seramai kira-kira 700 PATI dari Depot Sementara Imigresen Relau dilaporkan melarikan diri dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi Rabu.
* Artikel asal di Sinar Harian