Tahanan reman tiga suspek kes bunuh pelajar Britain dilanjutkan

Astro Awani
Ogos 13, 2014 04:37 MYT
Siasatan lanjut perlu dilakukan untuk mendapatkan lebih banyak lagi bukti. - Sumber Polis Sarawak
Tempoh tahanan reman terhadap tiga suspek kes bunuh dua pelajar perubatan Britain yang berakhir hari ini telah dilanjutkan selama tujuh hari lagi oleh Mahkamah Majistret Kuching.
Ini bagi memudahkan pihak polis menjalankan siasatan yang lebih terperinci berkaitan kes berkenaan kerana ianya melibatkan mangsa luar negara iaitu Aidan Brungar, 22, dan Nail Delton, 23, dan siasatan lanjut perlu dilakukan untuk mendapatkan lebih banyak lagi bukti.
Perintah tahanan reman berkenaan telah dikeluarkan oleh Majistret Portia Tham Ong Leng kepada ketiga -tiga suspek yang masing-masing berusia 29 tahun, 23 tahun dan 19 tahun itu bermula hari ini dan berakhir pada 20 Ogos ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini kesemua suspek telah ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan selepas ditahan kira-kira jam 6 pagi pada 6 Ogos 2014, dua jam selepas kejadian kes bunuh dua pelajar berkenaan di Jalan Abell Kuching.
Selain tiga suspek berkenaan, turut ditahan bagi membantu siatan adalah dua lagi lelaki masing masing berusia 35 tahun dan seorang lagi berusia 55 tahun yang mana suspek keempat ditahan kira kira jam 4.45 petang pada hari kejadian manakala suspek kelima lelaki berusia 55 tahun berkenaan ditahan sehari selepas hari kejadian.
Suspek keempat akan tamat tempoh tahanan reman pada esok hari manakala suspek kelima pula akan tamat tempoh tahanan reman pada 15 Ogos ini.
Permohonan lanjutan tahanan reman itu telah dikemukakan oleh pegawai penyiasatan kes ASP Rejali Angong.
Pada kejadian 6 Ogos lepas pada kira-kira jam 4 pagi, dua orang pelajar perubatan Universiti Newcastle yang sedang menjalani latihan amali bermula bulan Jun 2014 hingga 8 Ogos 2014 di salah sebuah hospital tempatan di Bandaraya Kuching ditemui mati akibat kecederaan parah kesan tikaman dibahagian dada dan kesan tikaman di bahagian belakang.
Mereka ditemui berhampiran salah sebuah pusat hiburan di Jalan Abell Padungan Kuching, selepas terlibat dalam pertengkaran dengan sekumpulan lelaki yang dipercayai kesemua mangsa dan suspek berada dibawah pengaruh alcohol.
#Britain #bunuh #Kuching