Tahanan reman mati dalam perjalanan ke hospital

Bernama
Disember 18, 2017 06:23 MYT
Punca kematian dikenal pasti sebagai darah beku di dalam salur darah pada paru-paru atau 'pulmonary thromboembolism'. - Gambar hiasan
Seorang lelaki yang ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes pecah kilang dan kedai disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang setelah mengadu serangan asma pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli berkata lelaki berusia 29 tahun itu yang ditahan reman sehingga Khamis ini, dibawa keluar bersama seorang lagi suspek oleh anggota polis dari Lokap Berpusat Shah Alam bagi urusan rakaman percakapan serta Sistem Identifikasi Cap Jari Biometrik, pada 10.15 pagi.
"Setelah tahanan sampai di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan kira-kira 11.15 pagi, dia mengadu sakit asma, tidak makan serta muntah-muntah. Ambulans sampai pada 12.15 tengah hari dan semasa suspek diperiksa pegawai perubatan mendapati dia normal kerana boleh berbual seperti biasa," katanya dalam kenyataan di sini.
Katanya, lelaki itu kemudian dibawa ke HTAR namun pada 12.40 tengah hari, pihak hospital mengesahkan suspek meninggal dunia semasa dalam perjalanan.
Beliau berkata pemeriksaan awal bedah siasat mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kes itu dan punca kematian dikenal pasti sebagai darah beku di dalam salur darah pada paru-paru atau 'pulmonary thromboembolism'.
Katanya kes disiasat sebagai mati mengejut. -- Bernama
#asma #Hospital Tengku Ampuan Rahimah #kes pecah kilang #Klang #mati mengejut #pecah kedai #reman
;