Tahanan reman dakwa diliwat dalam lokap AADK

Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 29, 2018 14:37 MYT
Mangsa berusia 22 tahun itu mendakwa diliwat seorang tahanan berusia 40 tahun ketika berada di dalam lokap AADK di Kampung Selamat, Tasek Gelugor Jumaat lalu. - Astro AWANI
Seorang tahanan reman Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mendakwa dia diliwat rakan tahanan yang lain ketika berada di dalam lokap agensi itu di Kampung Selamat, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, Jumaat lalu.
Mangsa yang berumur 22 tahun itu telah dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk pemeriksaan lanjut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Noorzainy Mohd Noor memaklumkan pihak polis menerima laporan pada pukul 4.07 petang mengenai kejadian tersebut.
Beliau berkata, mangsa mendakwa diliwat suspek berusia 40 tahun yang ditahan atas kesalahan dadah.
Menurutnya, polis akan bekerjasama dengan pihak AADK untuk menangkap suspek selepas AADK selesai mendapatkan perintah reman ke atas suspek bagi kesalahan dadah.
Noorzainy berkata, buat masa ini, pihak polis telah mengarahkan supaya suspek itu diasingkan sel dari semua tahanan sebelum tindakan lanjut dibuat.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
#AADK #Agensi Anti Dadah Kebangsaan #liwat #lokap AADK