Tahanan Penjara Alor Setar lulus viva sarjana UUM

Bernama
September 22, 2024 18:29 MYT
Penghuni Penjara Alor Setar berusia 34 tahun itu berjaya mempertahankan tesisnya dalam sesi viva yang dijalankan pada 18 Sept lepas. - Facebook Jabatan Penjara Malaysia
ALOR SETAR: Walaupun berstatus tahanan penjara, ia tidak menghalang seorang lelaki untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Pengurusan di bawah Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) Universiti Utara Malaysia (UUM).
UUM dalam satu kenyataan memaklumkan penghuni Penjara Alor Setar berusia 34 tahun itu berjaya mempertahankan tesisnya dalam sesi viva yang dijalankan pada 18 Sept lepas, sekali gus membuktikan tiada yang mustahil untuk dicapai oleh tahanan sepertinya jika mempunyai iltizam untuk berjaya.
"Penjara banyak mengajar erti kehidupan dengan memberi peluang untuk saya menimba pelbagai ilmu dan bangkit untuk terus maju ke hadapan.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Penjara Malaysia kerana memberi peluang untuk saya kembali belajar, begitu juga UUM, khususnya penyelia Prof Madya Dr Zulkiflee Daud dan Dr Mazli Mutazam yang sentiasa menyokong saya walaupun berada di dalam penjara," katanya.
Sesi viva itu telah dipengerusikan oleh Prof Dr Hasnizam Shaari dari UUM, manakala pemeriksa tesis terdiri daripada Prof Madya Dr Hamran Mohamad dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Prof Madya Dr Abdul Sukor Shamsudin dari UUM.
Jabatan Penjara Malaysia sentiasa membuka peluang kepada sesiapa sahaja yang berminat dan berkelayakan untuk mengikuti pengajian lebih tinggi supaya penghuninya dapat mencorak masa depan lebih cerah apabila dibebaskan kelak, kata kenyataan itu lagi.
-- BERNAMA
#penghuni penjara #viva sarjana #UUM #pendidikan #Penjara Malaysia #Tahanan
;