Tahanan pecah pintu blok, gril penghadang sebelum melarikan diri - KP Imigresen

Astro Awani
April 20, 2022 11:00 MYT
KHAIRUL DZAIMEE: Mereka melarikan diri setelah memecahkan pintu blok dan gril penghadang. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Tahanan warga Rohingya dari Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap bertindak memecahkan pintu blok dan gril penghadang sebelum melarikan diri beramai-ramai awal pagi tadi.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dalam satu kenyataan berkata, seramai 528 tahanan etnik Rohingya bertindak melarikan diri dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi tadi.
BACA: 528 tahanan depoh imigresen lolos, 205 masih diburu, 6 maut nahas lebuh raya
“Mereka melarikan diri setelah memecahkan pintu blok dan gril penghadang,” katanya.
“Pegawai-pegawai bertugas telah mengaktifkan Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan menghubungi pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan bagi mendapatkan bantuan,” katanya.
Gerakan mencari dan menangkap tahanan yang lari sedang giat dijalankan dengan kerjasama PDRM, RELA dan orang ramai.
“Sehingga jam 10 pagi ini, seramai 362 orang tahanan telah berjaya ditangkap semula. Gerakan mencari baki tahanan yang lain sedang diteruskan” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang keberadaan tahanan yang lolos diminta memaklumkan kepada pihak JIM atau PDRM.
#Khairul Dzaimee Daud #tahanan imigresen lolos #Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap #Rohingya
;