Tahanan parol hilangkan diri meninggal dunia akibat kencing tikus
Vivi Sumanti
September 14, 2022 21:18 MYT
September 14, 2022 21:18 MYT
KOTA BHARU: Seorang tahanan parol yang menghilangkan diri di bandar ini pada petang Sabtu, didapati meninggal dunia akibat penyakit kencing tikus atau Leptospirosis petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata siasatan mendapati, Orang Banduan Berlesen (OBB) berusia 37 tahun itu, mendapatkan rawatan Hospital Machang, Isnin lalu.
"Semalam dia dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, sebelum meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan pada jam 4.50 petang.
"Punca kematian adalah disebabkan penyakit kencing tikus atau Leptospirosis," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan OBB berkenaan hilang sewaktu bekerja sebagai buruh bersama tiga rakannya di pusat bandar antara jam 5 hingga 6 petang Sabtu lalu.
Dia telah menjalani hukuman penjara selama 10 bulan atas kesalahan dadah dan kini berada di bawah pengawasan parol melalui Program Pemulihan Dalam Komuniti.
Pengarah Penjara Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob dilapor berkata, pihaknya menyedari kehilangan banduan terbabit selepas dihubungi majikan, serta seorang rakannya yang bekerja bersama.