Tahanan melarikan diri ditangkap semula ketika sedang makan

Bernama
November 23, 2016 16:47 MYT
Beliau berkata tahanan itu sepatutnya didakwa pada hari tersebut di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952, namun dia meloloskan diri dari jagaan anggota polis dengan melucutkan gari pada tangannya. - Gambar Hiasan
Seorang suspek kes dadah yang melarikan diri ketika sedang dibawa ke Mahkamah Majistret di sini Isnin lalu ditahan semula malam tadi.
Ketua Polis Daerah Besut, Supt Mohd Zamri Mohd Rowi berkata suspek berumur 24 tahun itu berjaya ditahan dengan bantuan keluarganya ketika dia sedang makan di sebuah kedai di Kampung Raja pada pukul 10.40 malam.
Beliau berkata tahanan itu sepatutnya didakwa pada hari tersebut di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952, namun dia meloloskan diri dari jagaan anggota polis dengan melucutkan gari pada tangannya.
Dia kemudian dilapor melompat pagar di Jabatan Pengairan dan Saliran untuk menuju Dataran Limbongan, kira-kira 800 meter dari perkarangan mahkamah.
"Dari situ suspek menahan sebuah teksi sapu untuk membawanya ke Kampung Batu Tumbuh dan turun di situ untuk berjalan kaki balik ke rumahnya di Kampung Kerandang.
"Dia kemudian mengambil motosikal kepunyaan adiknya untuk melarikan diri ke ladang getah di sekitar Kampung Pondok Paku, kira-kira lima kilometer dari Kampung Raja," kata Mohd Zamri.
Suspek kini menghadapi pertuduhan tambahan iaitu melarikan diri daripada tahanan. - Bernama
#Dadah #Mahkamah Majistret #tahanan lari ditangkap semula
;