Tahanan lolos di Bidor: 83 diberkas, 46 masih diburu setakat pagi Selasa

Abd Razak Mohd Ali
Februari 6, 2024 09:30 MYT
Antara pendatang asing tanpa izin yang meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor telah ditahan di sebuah kebun jambu di Kampung Senta. - Foto BERNAMA
IPOH: Operasi khas yang dijalankan pihak polis dan Jabatan imigresen Malaysia berjaya memberkas 83 tahanan yang lolos daripada Depot Imigresen Sementara Bidor pada Khamis lalu, setakat pukul 7 pagi Selasa.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, daripada jumlah itu, 61 orang diberkas pihak polis manakala 22 lagi oleh pihak imigresen.
Dalam masa sama, katanya dalam kenyataan, operasi memburu 46 lagi baki tahanan terus dipergiatkan.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.50 malam Khamis, seramai 131 tahanan Depot Imigresen Sementara Bidor bertindak melarikan diri dari blok lelaki depot berkenaan.
Bagaimanapun seorang daripada mereka maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 335 Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) lewat malam Khamis.
Seorang lagi etnik Rohingya meninggal dunia selepas terlibat kemalangan di Kilometer 332.5, berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tapah pada Ahad malam.
Ketika kejadian, lelaki itu dipercayai sedang berjalan kaki sebelum dilanggar sebuah kenderaan motor pikap.
#tahanan lolos #Depot Imigresen Sementara Bidor #Mohd Yusri Hassan Basri #Diberkas
;