Tahanan lelaki meninggal dunia di Kuantan kerana Tibi - Bukit Aman
Bernama
Februari 3, 2022 18:57 MYT
Februari 3, 2022 18:57 MYT
KUALA LUMPUR: Kematian seorang tahanan lelaki di Hospital Kuantan, Pahang semalam berpunca daripada penyakit Tuberkulosis (Tibi), kata Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad.
Beliau berkata, ia berdasarkan hasil bedah siasat yang dijalankan oleh bahagian forensik hospital berkenaan semalam.
"Pada 25 Jan lepas, Orang Kena Tahan (OKT) lelaki berusia 38 tahun itu dihantar ke Lokap Berpusat Indera Mahkota Kuantan, Pahang untuk hadir ke perbicaraan pada hari ini mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Pada 28 Jan lepas OKT berkenaan yang mengadu sakit dada dibawa ke Hospital Kuantan untuk menerima rawatan dan pada semalam (2 Feb) pihak hospital memaklumkan OKT meninggal dunia dengan sebab kematian adalah akibat Tibi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azri berkata Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan jabatan itu akan menyiasat kes kematian mengejut OKT berkenaan. - BERNAMA