Tahanan kes dadah mati ketika terima rawatan

Bernama
September 13, 2022 05:30 MYT
OKT disahkan meninggal dunia setelah rawatan kecemasan diberikan oleh pegawai perubatan hospital berkenaan pada kira-kira 10.30 pagi. - Gambar hiasan
IPOH: Seorang lelaki warga emas yang ditahan berhubung kes dadah di Jalan Carey di sini pada Sabtu lepas, meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata suspek berusia 62 tahun itu didapati berada dalam keadaan tidak sihat di lokap Balai Polis Jelapang ketika ingin dibawa ke Mahkamah Majistret di sini untuk dituduh pada kira-kira 9.02 pagi.
"Pihak polis telah menghubungi pihak hospital dan orang kena tahan (OKT) berkenaan dihantar ke HRPB oleh ambulans untuk menerima rawatan," katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Beliau berkata OKT kemudian disahkan meninggal dunia setelah rawatan kecemasan diberikan oleh pegawai perubatan hospital berkenaan pada kira-kira 10.30 pagi.
Katanya, kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.
"Bedah siasat akan dibuat esok bagi mengetahui punca kematian," katanya.
-- BERNAMA
#tahanan mati #HRPB #Ipoh #PDRM
;