Tahanan Imigresen lolos: Wanita dan kanak-kanak tidak sepatutnya dalam tahanan

Hafizi Rosli
April 22, 2022 03:55 MYT
Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid, gesa kerajaan lihat semula semua kes kanak-kanak dan wanita yang berada di depot tahanan dan memastikan keperluan mereka disantuni dengan sempurna. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Wanita dan kanak-kanak yang tidak berdokumen tidak sepatutnya berada dalam tahanan di depot tahanan Imigresen.
Jelas Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid, mereka sepatutnya diberi perlindungan dan diproses dokumen mereka dengan segera mengikut undang-undang.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, MAPIM jelasnya menggesa kerajaan melihat semula semua kes kanak-kanak dan wanita yang berada di depot tahanan dan memastikan keperluan mereka disantuni dengan sempurna.
Beliau turut mempersonal mengapa kesemua mereka ditahan begitu lama sekiranya pihak berkuasa tiada rancangan untuk menghantar mereka pulang ke negara asal.
Dakwanya, tidak munasabah sebahagian mereka yang sudah ada kad kad Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) dan yang tidak ada dokumen ditahan sedemikian lama tanpa akses kepada proses perundangan.
Ini ditambah dengan situasi depot tahanan Imigresen yang padat dengan kemudahan terhad pastinya mencetuskan ketidakpuasan hati tahanan.
Lebih malang kanak-kanak dan wanita berkenaan dipaksa berada dalam tahanan yang sangat tidak kondusif untuk hidup walaupun untuk keperluan asas.
Mohd Azmi mengulas mengenai isu pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di Depot Imigresen Sementara Relau yang dilaporkan melarikan diri pada Rabu.
#Imigresen #Kanak-kanak #pendatang asing #wanita