Tahanan Imigresen lolos: Polis P. Pinang guna khidmat unit udara kesan pelarian

Dewi Nur Harasha Alias
April 21, 2022 18:58 MYT
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain menyampaikan amanat sempena Hari Raya Aidilfitri di Dewan Mutiara Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang hari ini. - Foto BERNAMA
GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang percaya saki baki tahanan Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau, masih berada dalam kawasan di sekitar Seberang Perai Selatan dan tidak dapat bergerak jauh.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, mereka tidak mempunyai hala tuju malah keadaan diri yang berkaki ayam, tidak makan, mungkin menyukarkan pergerakan mereka untuk terus bersembunyi dan melarikan diri.
Mohd Shuhaily berkata, setakat ini pasukan polis sudah berjaya menahan semula 30 orang tahanan Rohingya dan pihak polis masih mencari 111 orang tahanan yang masih bebas.
Katanya, 30 tahanan lelaki yang ditahan semula itu kebanyakannya ditemui di kawasan hutan dan di Sg Kerian, selain mereka juga tidak bertindak agresif.
"Mereka masih berkisar di dalam kawasan Sebrang Perai Selatan, dan seperti semua sedia maklum mereka ini ada yang masih berpuasa semalam dan mungkin hari ini tidak, disebabkan penat," katanya pada sidang media berhubung perkembangan terkini pencarian pelarian etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau, di Bandar Baharu Kedah semalam.
Jelas Mohd Shuhaily, usaha mencari juga akan terus diperhebatkan dan pihaknya juga telah memohon bantuan unit udara dari Bukit Aman untuk melakukan pencarian menggunakan helikopter bagi mengesan kedudukan tahanan yang masih diburu.
"Saya menyarankan orang ramai untuk terus salurka maklumat kepada pihak kita untuk sama-sama kesan saki baki 111 orang ini dan saya menasihatkan orang awam jangan mengambil tindakan sendiri.
"Tetapi dalam keadaan hari ini elok saja beritahu kepada pihak berkuasa untuk pihak berkuasa ambil tindakan seterusnya. Kita akan terus berusaha, malah sata juga telah memohon pasukan gerakan udara untuk datang membantu mengesan pelarian ini di kawasan yang luas," ujarnya.
BACA: 528 tahanan depot imigresen lolos, 205 masih diburu, 6 maut nahas lebuh raya
BACA: Tahanan imigresen lolos lari berkaki ayam 10km tanpa arah tujuan - Polis
Mohd Shuhaily berkata, seramai 120 pegawai dan anggota Polis Pulau Pinang terlibat dalam gerakan mencari 111 orang tahanan yang masih bebas sehingga mendapat arahan selanjutnya daripada Bukit Aman dan nasihat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Dalam pada itu, beliau berharap orang ramai dapat memberikan kerjasama dan menyalurkan maklumat kepada pihak polis serta tidak mengambil tindakan sendiri, dan sebaliknya memaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Terdahulu, Mohd. Shuhaily menyampaikan amanat kepada anggota dan pegawai sempena Hari Raya Aidilfitri di Dewan Mutiara, IPK Pulau Pinang
Dalam kejadian pada Rabu, seramai 528 warga asing etnik Rohingya yang juga tahanan di Depot Imigresen Sementara Relau, melarikan diri dari depot tersebut selepas berlaku rusuhan kecil di situ.
Daripada 528 tersebut, lebih 357 telah dikesan semula termasuk enam yang maut selepas terlibat dalam kemalangan ketika melintas Lebuh raya PLUS di KM168 menghala selatan, berhampiran kawasan Jawi.
#tahanan imigresen lolos #polis pulau pinang #Depot Imigresen Sementara Relau #Mohd Shuhaily Mohd Zain #pelarian Rohingya #Seberang Perai Selatan
;