Tahanan imigresen lolos: 'Penduduk sudah beri amaran jangan lintas lebuh raya'
Dewi Nur Harasha Alias
April 20, 2022 20:26 MYT
April 20, 2022 20:26 MYT
SEBERANG PERAI: Penduduk kampung yang terserempak dengan kumpulan tahanan etnik Rohingya yang meloloskan diri dari Depoh Sementara Sungai Bakap di sini, sempat memberi amaran supaya mereka tidak melintas lebuh raya.
Bagaimanapun, penduduk berkata, ada yang berdegil dan tetap melintas menyebabkan enam daripada mereka maut apabila dilanggar beberapa kenderaan.
Seorang saksi, Syamsuddin Che Adni, 29, berkata berkata, dalam kejadian itu maing-masing dua lelaki, wanita serta kanak-kanak meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, dia sempat memangku dan mengajar salah seorang mangsa mengucap dua kalimah shahadat walaupun tidak pasti sama ada mangsa itu masih bernyawa atau sebaliknya.
Bercerita lanjut, Syamsuddin berkata, sebelum itu dia dan beberapa orang penduduk turut memujuk mereka supaya tidak melarikan diri.
“Selepas berlaku kemalangan, kami cuba kejar tahanan lain... abang saya kejar kumpulan yang hala ke arah Ipoh dekat 40 orang, abang saya pujuk. Mereka kemudian bertenang dan duduk (untuk berhenti melarikan diri).
"Saya pula kejar kumpulan yang masuk ke dalam hutan ikut anggota Jabatan Imigresen.. memang ramai yang melarikan diri," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Katanya, ada antara tahanan terbabit bertindak agresif menyebabkan dia terpaksa menenangkan mereka terlebih dahulu sebelum memujuk agar tidak terus melarikan diri.
Terdahulu katanya, dia serta penduduk kampung kehairanan apabila melihat kumpulan tersebut keluar beramai-ramai dari depot tahanan imigresen berhampiran.
Menurutnya, mereka kemudian mengekori kumpulan tahanan tersebut yang berjalan tanpa kasut sejauh kira-kira lebih 10 kilometer hingga menuju ke lebuh raya.
Mereka turut membantu menangkap tahanan yang keletihan sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa.
Terdahulu, seramai 528 warga asing terdiri daripada etnik Rohingya yang merupakan tahanan di Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, melarikan diri dari depot tersebut dalam kejadian awal pagi hari ini.
Daripada 528 yang melarikan diri dari depot yang menempatkan 664 orang tahanan itu, seramai 357 telah ditemui termasuk enam yang maut selepas mereka terlibat dalam kemalangan, ketika melintas jalan di Kilometer 168 PLUS menghala selatan iaitu berhampiran kawasan Jawi.