Tahanan imigresen lolos: KPISM mahu KDN segera salur peruntukan tambah baik depot

Bernama
April 20, 2022 04:00 MYT
Dalam kejadian awal pagi semalam, seramai 528 tahanan etnik Rohingya di Depot Imigresen Sementara Sungai Bakap, melarikan diri dari depot tersebut. - Gambar fail/ PDRM
ALOR SETAR: Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) memohon agar Kementerian Dalam Negeri (KDN) segera menyalurkan peruntukan bagi menambah baik fasiliti di depot-depot tahanan Imigresen di seluruh negara.
Presiden KPISM Khairil Niza Khairuddin berkata ini kerana terdapat depot tahanan yang dalam keadaan uzur dan tidak mampu menampung jumlah tahanan yang terlalu ramai.
"KPISM juga menggesa kerajaan agar dapat mencapai satu kata putus dan langkah proaktif khas dalam pengurusan tahanan etnik Rohingya, yang mana mereka ini tidak dapat diusir keluar berikutan Myanmar tidak mengiktiraf dan tidak mahu menerima.
"Perkara itu menyebabkan berlaku kesesakan tahanan etnik Rohingya di depot-depot tahanan seluruh negara, dan ini akan menimbulkan masalah di mana mereka tidak dapat dibebaskan atau diusir," katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.
Beliau berkata keadaan itu telah meningkatkan pelbagai risiko seperti penularan penyakit dalam depot-depot tahanan, berlaku rusuhan, peningkatan kos makan dan minum tahanan serta lain-lain.
"KPISM juga memohon Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), dapat menyediakan lebih banyak penjawatan untuk menempatkan lebih ramai kakitangan di depot-depot tahanan, agar kawalan keselamatan yang lebih optimum dapat diwujudkan," katanya.
Khairil Niza, KPISM juga menyokong sebarang usaha yang dilaksanakan JIM dalam meningkatkan kualiti depot-depot tahanan dan bersedia bekerjasama dan memberikan input dalam mencari solusi terbaik berhubung perkara berkenaan.
-- BERNAMA
#tahanan lolos #Imigresen #KPISM #KDN
;