Tahanan dirogol di dalam lokap, dua anggota polis Miri digantung tugas

Afiezul Samit
Januari 17, 2021 08:07 MYT
Bapa mangsa diiringi Senator Alan Ling bercakap kepada media selepas membuat laporan polis semalam. - Astro AWANI
KUCHING: Polis Sarawak menggantung tugas dua anggotanya selepas seorang gadis bawah umur mendakwa dirogol seorang tahanan lain, ketika ditahan di dalam lokap tahanan Balai Polis Pusat Miri.
Dalam kejadian pada 9 Januari itu, gadis tersebut ditahan kerana dipercaya terlibat dalam aktiviti judi online.
Ketika ditangkap di tempat kerjanya, sehari sebelum kejadian, mangsa telah ditahan di dalam tahanan berasingan untuk membantu siasatan.
Bagaimanapun sekitar jam 4 pagi, lokap mangsa telah dibuka oleh suspek yang memiliki kunci lokap, sebelum bertindak merogolnya di tandas lokap.
Kejadian tersebut dilaporkan kepada pihak polis, dan suspek kemudian ditahan lanjut serta didakwa atas perbuatannya.
Pada 12 Januari lalu, suspek telah didakwa di Mahkamah Sesyen Miri dan mengaku bersalah.
Pada petang semalam, mangsa dan bapanya, diiringi Senator Alan Ling telah sekali lagi membuat laporan polis.
Kali ini membabitkan kecuaian pihak polis yang membenarkan kejadian ini berlaku di dalam premis mereka.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, kedua-dua anggota polis tersebut digantung tugas kerana cuai dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika bertugas.
Kes katanya, kini sedang dalam siasatan.
#rogol #lokap #Tahanan #polis #Sarawak #Miri
;